KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menayang serta menggosok alat sulitnya di hadapan sebuah sekolah rendah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan pengawal keselamatan sekolah dan orang awam kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

“Suspek ditahan setelah menerima aduan daripada ibu kepada seorang murid di sekolah itu yang mengadu didekati suspek sambil menggosok kemaluannya ketika dia sedang menunggu anaknya di pekarangan sekolah.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku melakukan perbuatan tidak senonoh itu terhadap mangsa sebelum dibawa ke balai polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.

Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Mengabang Tengah itu sering melakukan perbuatan tidak senonoh di sekitar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin.

Beliau berkata, suspek menjadikan murid, guru serta ibu bapa yang menunggu dan menghantar anak di perkarangan sekolah itu sebagai mangsa untuk melampiaskan keinginannya itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebelum ini beberapa aduan telah dibuat orang awam berhubung perbuatan lelaki berkenaan.

“Sebanyak tiga laporan polis telah dibuat berhubung perbuatan tidak senonoh lelaki berkenaan di sekolah itu dalam tempoh dua bulan ini. Kebanyakan laporan meminta pihak polis membuat rondaan secara kerap di kawasan terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil ujian ke atas urin suspek yang direman bermula hari ini mendapati negatif dadah dan suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, pihak polis turut merampas telefon bimbit suspek bagi tujuan siasatan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun.