KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki ditahan malam tadi kerana bukan sahaja melarikan teman wanitanya malah turut disyaki merogol remaja yang berusia 14 tahun itu.

Suspek berusia 42 tahun dan berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu, ditahan sempena Ops Lejang Khas, kira-kira jam 8 malam, di tepi jalan Sultan Omar, di sini.

Menurut sumber, sebelum itu, pada 14 Oktober lalu, bapa mangsa dari Kota Bharu, Kelantan, ada membuat laporan polis yang remaja itu sudah dilarikan oleh seorang lelaki dikenali.

"Suspek dipercayai bertindak membawa lari mangsa kerana hubungan cinta mereka tidak direstui keluarga gadis itu disebabkan usianya yang terlalu muda dan masih belajar.

"Bagaimanapun, suspek tidak mengetahui tindakannya membawa 'malang' kerana mangsa merupakan remaja di bawah umur," katanya.

Sumber berkata, bapa mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis bukan sahaja bimbang keselamatan anaknya tetapi turut mengesyaki suspek sudah merogol gadis itu.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol bawah umur.