KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak bermoral seorang gadis yang membawa teman lelaki balik ke rumah selepas ketiadaan ibu bapanya mengundang padah apabila didenda RM2,400 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana kesalahan berkhalwat.

Selain gadis berusia 18 tahun dan pasangan, 22, turut dikenakan hukuman sama terhadap abang kandung, 20, dan lima rakan abangnya termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30 tahun yang dipercayai bersubahat dengan 'melepak' bersama-sama di dalam rumah itu semata-mata hendak menutup aktiviti tidak sihat terbabit.

Hakim Syarie membuat keputusan itu selepas kesemua mereka mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Mereka mengaku melakukan kesalahan itu selepas kediaman dua beradik berkenaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, diserbu kira-kira jam 9.40 pagi, pada 10 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, serbuan berwaran dilakukan ke atas rumah tersebut selepas menerima maklumat awam dan semasa tiba di hadapan rumah, didapati pintu utama tertutup rapat.

Selepas mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali, lebih kurang seminit kemudian, pintu dibuka seorang lelaki (abang) sebelum pemeriksaan  menjumpai dua lagi lelaki sedang duduk di atas sofa manakala seorang perempuan sedang berdiri di tepi bilik.

Pemeriksaan seterusnya menjumpai seorang lelaki yang sedang tidur di dalam bilik sebelum mendapati salah sebuah bilik di dalam rumah itu berkunci dan lebih kurang lima minit kemudian, pintu dibuka seorang lelaki selain menjumpai seorang gadis (adik) sedang tidur sambil berselimut.

Siasatan mendapati kesemua mereka tiada hubungan suami isteri yang sah atau mahram kecuali dua beradik itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, sepasang kekasih dikenakan denda RM2,400 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda selepas mengaku salah berkhalwat di sebuah rumah di Rumah Pangsa Bukit Kecil, di sini.

Pasangan berusia 22 dan 23 tahun itu mengaku melakukan kesalahan tersebut selepas kediaman itu diserbu kira-kira jam 1.30 pagi, pada 28 Febuari lalu.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Hafiz Razali.