KOTA BHARU - Kes rogol di Kelantan membimbangkan walaupun peratusan menunjukkan penurunan tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebahagian besar kes berkenaan melibatkan penzinaan secara rela.

Beliau berkata, hanya sebahagian kecil saja yang boleh dikategorikan sebagai rogol secara paksa oleh pasangan mangsa.

"Saya secara peribadinya agak bimbang dengan kes rogol atau sebenarnya penzinaan suka sama suka ini yang berlaku dalam kalangan remaja bawah umur.

"Sehingga sekarang terdapat 92 kes rogol yang dilaporkan berbanding tahun lalu 108 kes. Ia melibatkan penurunan 14.8 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Townhall Discussion peringkat PDRM Kelantan yang dianjurkan bersama Jabatan Penjara Kelantan dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kelantan yang bertajuk 'Jenayah Kelantan adakah serius?' di Dewan Perniagaan Cina, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kasim.