KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berhubung dakwaan kes cabul membabitkan ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, akan dirujuk semula kepada Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-undang) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd.

"Pegawai penyiasat kes akan rujuk semula kertas siasatan kepada semua pihak berkaitan.

"Selepas itu ia akan dirujuk terus kepada timbalan pendakwa raya. Lepas itu barulah kita tahu akan status keputusan sama ada dituduh atau tidak," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN : Dakwaan cabul: Saya takkan berdiam diri, kata Shahidan]

[ARTIKEL BERKAITAN : Kes cabul: Kertas siasatan akan diserah kepada DPP]

Terdahulu, Pengerusi MyWatch, Datuk Sri R Sanjeevan mendedahkan di akaun Twitternya kejadian ini dan berkata laporan kes itu dibuat mangsa pada 20 Oktober lalu kira-kira jam 11.30 pagi di Kangar, Perlis.

Kemudian, Shahidan tampil menjelaskan kontroversi dakwaan beliau mencabul penyanyi busker di Perlis dua minggu lalu dan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap penyebar berita tersebut.

Bekas menteri itu juga berharap agar semua pihak tidak memanjangkan isu ini dan memberi ruang kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut meskipun laporan polis ditarik balik.