KUALA TERENGGANU - Kerap mengadu sakit kemaluan membongkar rahsia seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa rogol sepupunya, dalam kejadian Kuala Nerus.

Mangsa berusia 10 tahun sebelum ini acap kali mengadu sakit pada kemaluan kepada kakaknya sebelum diceritakan kepada ibu mereka pada Rabu lalu.

Menurut sumber, curiga dengan sikap adiknya yang akan menangis dan dalam ketakutan setiap kali mengadu sakit di kemaluannya, remaja itu cuba memujuk agar kanak-kanak tersebut menceritakan apa yang sudah berlaku terhadapnya.

"Setelah puas dipujuk, mangsa baru memberanikan diri membuka mulut menceritakan kejadian sebenar yang dia dirogol oleh sepupunya, berusia 14 tahun, beberapa kali sebelum ini.

"Terkejut dengan pengakuan adiknya yang juga seorang kanak-kanak lembam, remaja itu terus menceritakan kepada ibunya semasa berada di rumah," katanya.

Sumber berkata, tergamam sejurus dimaklumkan hal berkenaan, ibu mangsa cuba mendapatkan kesahihan daripada anaknya itu sebelum dimaklumkan kejadian itu sudah berlaku banyak kali selama ini.

"Mangsa memberitahu dia dirogol oleh suspek ketika berada di rumah nenek mereka dan juga ketika berada di rumah sewa Kuala Nerus.

"Kanak-kanak istimewa itu juga mengaku takut dengan situasi berkenaan dan mengadu berasa sangat sakit di kemaluannya akibat perbuatan sepupunya itu," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat ibu mangsa di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus.

Jelasnya, susulan laporan diterima pada Rabu, suspek di tahan sehari selepas itu iaitu pada Khamis lalu.

"Remaja itu kini direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan boleh dikenakan," katanya.