BUKIT BERUNTUNG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta memberi perhatian serius permasalahan dihadapi doktor pelatih akibat budaya tidak sihat di kalangan doktor kanan.

Presiden Pertubuhan Tindakan Keamanan dan Pembanteras Jenayah Selangor Kuala Lumpur, Dr V Kalaikumar berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada ibu bapa pelatih berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, ibu bapa mendakwa anak mereka yang dalam tempoh menjalani latihan di hospital mengalami tekanan hidup.

"Ada antara mereka dibuli, dimaki di hadapan pesakit dan ada pula berdepan gangguan seksual daripada doktor kanan.

"Doktor pelatih tidak berdaya untuk membuat aduan kepada pihak atasan sebaliknya hanya mampu meluahkan perasan kepada ibu bapa masing-masing.

"Mereka tidak berani kerana akan diugut menggagalkan latihan dan penilaian akhir yang akhirnya memusnahkan masa depan mereka dalam bidang perubatan,"katanya.

Kalaikumar berkata, NGO itu bertegas mahu mengadakan sesi dialog ibu bapa bersama pihak kementerian bagi merungkai dan mencari penyelesaian masalah tersebut.

Menurutnya, pegawai dari pejabat kementerian di Putrajaya perlu berjumpa dengan doktor pelatih secara tertutup bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Doktor pelatih mempunyai surat kontrak dan ada antara mereka yang tidak memahami isi kandungan kontrak kerana tiada pegawai yang memberi penjelasan penuh.

"Doktor pelatih ini merupakan golongan siswazah  yang memerlukan bimbingan melalui teladan yang baik, bukan menjadi mangsa segelintir doktor kanan yang mengambil kesempatan.

"Beberapa kejadian termasuk kematian bunuh diri membabitkan doktor pelatih sebelum ini membuktikan bahawa mereka mengalami tekanan,"katanya.