DISPUR - INDIA. Lima lelaki lelaki hidung belang dicekup polis selepas merogol seorang wanita dalam kereta yang sedang bergerak.

Polis berkata, kejadian itu berlaku di negeri Assam pada Rabu.

Selepas dirogol, mangsa ditinggalkan dalam keadaan tangan dan kaki diikat di sebuah hutan di daerah Nalbari.

Menurut sumber polis, sebelum kejadian mangsa serta suaminya sedang menunggang basikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan dapur di Nathkuchi.

"Tiga suspek yang dikenali mangsa dan suaminya menawarkan bantuan untuk menghantar wanita itu pulang ke rumah.

"Suami mangsa menyambut pertolongan itu tanpa berasa curiga," kata jurucakap polis Shiladitya Chetia.

Tambah Chetia, ketiga-tiga suspek mengambil kesempatan merogol mangsa ketika melalui kawasan sunyi.

Suspek kemudian menghubungi dua lagi rakan mereka dan sekali lagi merogol mangsa dalam kereta yang sedang bergerak.

Kesemua suspek bakal dihadapkan ke muka pengadilan dalam waktu terdekat.

Pada Ogos lalu, insiden serupa berlaku di Nagaon.

Mangsa dirogol secara berkumpulan oleh empat lelaki dalam kereta yang sedang bergerak.

Wanita malang itu kemudiannya ditinggalkan di kawasan lebuh raya. - Agensi