KANGAR - Seorang gadis berusia 15 tahun mendakwa menjadi mangsa seks bapa tirinya yang kononnya mahu membuang saka di dalam badan gadis itu di Kuala Perlis, dekat sini, baru-baru ini.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terbabit sebanyak dua kali, iaitu sebuah kuarters kerajaan pada kira-kira 1 pagi, 25 Oktober lalu, dan sekali lagi di sebuah taman perumahan berdekatan pada keesokan harinya.

Mangsa kemudian membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Kuala Perlis, dekat sini, berikutan trauma dan bimbang akan keselamatan dirinya.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika dipanggil untuk soal siasat kira-kira jam 3.30 petang, semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 28 A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Peguam, Zuhair Ahmad Zakuan bertindak sebagai peguam pemerhati.