KANGAR - Bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan seks oral dan mencabul dua kakitangan bawahannya termasuklah seorang inspektor percubaan tahun lepas.

Tertuduh, Superintendan Ghazani Ab Ghani, 49, membuat pengakuan itu dalam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Ghazani didakwa melakukan seks oral kepada pegawai polis berpangkat inspektor tanpa kerelaan wanita itu antara pukul 12.10 tengah malam hingga 1 pagi pada 31 Oktober 2017 dalam kenderaan jenis Ford berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam daerah Arau.

Ghazani juga berhadapan dengan tuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan mangsa yang ketika kejadian bertugas di IPD Padang Besar di masa, tarikh dan lokasi sama.

Ghazani turut dituduh melakukan kesalahan sama iaitu seks oral dan mencabul kehormatan seorang lagi mangsa berusia 36 tahun yang merupakan kakitangan pengurusan IPD itu dalam kereta jenis Perodua Axia berhampiran MRSM sama antara pukul 10 malam hingga 11.30 malam, 3 Julai 2017.

Ghazani berdepan empat pertuduhan, iaitu mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan terhadap kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani dan Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili dua peguam bela iaitu M. Puveneswaran dan K. Kumaran.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan, selain tertuduh diarahkan tidak mendekati dan menggangu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Januari 2019.

Terdahulu, tertuduh dipercayai cuba mengaburi media dengan menggunakan seorang individu yang memakai topeng penutup muka dan berkaca mata keluar bersama peguamnya melalui pintu hadapan sementara dia keluar mengikut pintu belakang setelah selesai membayar wang jaminan.

Bagaimanapun, kelibat Ghazani sempat dirakam ketika dia dilihat sedang memasuki kereta jenis Nissan Almera yang dipadamkan nombor pendaftarannya.

Difahamkan, Ghazani yang berasal dari Alor Setar, Kedah kini bertugas di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.