TERKESAN dengan kes pembuangan bayi yang tiada berkesudahan, pelakon dan juga usahawan Abby Abadi merayu kepada mana-mana wanita yang terfikir untuk membuang bayi mereka akibat terlanjur agar tidak berbuat demikian.

Apa yang perlu mereka lakukan adalah dengan menghubunginya dan kata Abby, dia sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai penjaga bayi itu selain membantu mencari keluarga angkat untuk bayi berkenaan.

"Kenapa tak cari saya? Cari saya kalau tak nak bayi, sahabat!

"Saya usaha beri kehidupan yang terbaik untuk bayi ini dengan mencarikan ibu-bapa yang sudi nak menjaga dia... Kenapa buang macam ini?

"Tolong, adik, kakak, makcik... Kalau tak nak bayi, termengandung atau sebagainya, carilah Abby Abadi. Saya usahakan duit belanja untuk perbaiki keadaan juga... tolong!," katanya di Instagram (IG) miliknya.

Abby memuat naik semula gambar penemuan seorang bayi yang ditinggalkan di dalam sebuah kotak di sebuah surau di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Pada Jun lalu, Abby dan suami, Muhammad Faizal Zakaria mengambil seorang anak angkat lelaki, Muhammad Daiyan Fayyadh.

Pasangan itu kemudiannya mengambil seorang lagi anak angkat perempuan, Maisara Dayana Fathia yang kehadirannya disifatkan sebagai rezeki daripada ALLAH.

Abby mempunyai tiga cahaya mata lain hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Usaha yang dilakukan oleh Abby itu mendapat pujian pengikutnya.

"Terima kasih @abby_abadi112 atas usaha murni itu.. Kesiannya dekat baby tak berdosa.. Tolonglah wahai insan diluar sana... Tolong ada hati perut sikit," tulis nida_3746.

"Ya ALLAH mulianya hati @abby_abadi112... " tulis masrinache.

"Saya sayang kakak Abby... Mulianya hati kakak," tulis norshaziraezuana.

"Ya ALLAH. Sedihnya... Kakak Abby mulianya hati kakak. Semoga peroleh syafaat dan syurga buat kakak Abby sebab jaga ank syurga ini," tulis hamrazahiya.

"@rebeccanuralislamahmad @abby_abadi112, saya tabik kakak berdua semoga kakak berdua di lindungi ALLAH (S.W.T)  tulis muhammadhazezie pula.