SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) TTDI Jaya dinobat johan Kategori Sekolah Menengah dalam Pertandingan Kempen Kitar Semula Peringkat Negeri 2018.

Bagi Kategori Sekolah Rendah, tempat pertama Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Megah 3 manakala Kategori Tadika dimenangi Pra SK Seksyen 19.

Johan membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala Pra SK Seksyen 19 mendapat RM500.

Pemenang diraikan pada Majlis Penutup Pertandingan Kempen Kitar Semula anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Fraser & Neave Holdings Bhd.

Program merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam menggalakkan masyarakat khususnya pelajar bersama-sama mengamalkan amalan kitar semula dan menjaga alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.

Pertandingan tersebut terbuka kepada tiga kategori iaitu Kategori Tadika/Pra Sekolah, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di bawah pentadbiran MBSA.

Pada pertandingan itu juga, pemenang bagi empat Anugerah Khas turut disampaikan.

Anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Khas Kutipan Aluminium Tertinggi, Kutipan Plastik Tertinggi, Tetra-Pak Tertinggi dan Kutipan e-waste Tertinggi.

SMK Subang memenangi dua anugerah iaitu Kutipan Aluminium Tertinggi dan Kutipan Plastik Tertinggi manakala SMK Subang Bestari turut membolot dua anugerah, Tetra-Pak Tertinggi dan Kutipan e-waste Tertinggi.

Pada tahun ini juga turut diadakan acara sampingan iaitu Pertandingan Reka Cipta Tong Kitar Semula.

Fraser & Neave Holdings Bhd telah menyumbang wang tunai sebanyak RM28,200 untuk menjayakan program itu.

Selain itu, MBSA turut menerima sumbangan daripada Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd yang menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,500 untuk Hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Program Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah tersebut mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dan badan korporat yang mendukung amalan kitar semula seperti Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan (KPM), Putrajaya, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana.

Turut menyokong, PPD Klang, PPD Petaling Utama, PPD Gombak, Syarikat F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Tetra Pak Malaysia Sdn Bhd.

 

INFO

Keputusan penuh Pertandingan Kempen Kitar Semula peringkat sekolah 2018 mengikuti Kategori Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Tadika

- Tempat Pertama: SMK TTDI Jaya, SK Alam Megah 3 dan Pra SK Seksyen 19

- Tempat Kedua  : SMK Seksyen 16, SK Bukit Naga dan Pra SK TTDI Jaya

- Tempat Ketiga : SMK Bukit Jelutong, SJK (T) HICOM dan Tadika Seri Kurnia

- Anugerah Khas Kutipan Alumnium Tertinggi: SMK Subang, SK Alam Megah 3 dan Pra SK Subang Bestari 2

- Anugerah Khas Kutipan Plastik Tertinggi      : SMK Subang, SK Merbau Sempak dan Pra SK TTDI Jaya

- Anugerah Khas Tetra-Pak Tertinggi               : SMK Subang Bestari, SK Subang Bestari 2 dan Pra SK Subang Bestari 2

- Anugerah Khas Kutipan e-waste Tertinggi    : SMK Subang Bestari dan SK Seksyen 6

 

Penerima anugerah Pertandingan Reka Cipta Kitar Semula

- Tempat Pertama: SMK Subang dan SK Alam Megah 3

- Tempat Kedua  : SMK Seksyen 16 dan SJK (T) Hicom

- Tempat Ketiga : SMK TTDI Jaya dan SK Subang Bestari 2

 

Anugerah Guru Cemerlang

- Sekolah Menengah: Cikgu Zaileha Husin (SMK Seksyen 6) - RM1,000

- Sekolah Rendah     : Cikgu Zalma (SK TTDI Jaya) - RM1,000

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: TAHNIAH SMK TTDI JAYA, SK ALAM MEGAH 3 DAN PRA SK SEKSYEN 19 DINOBAT JOHAN PERINGKAT NEGERI ]