SEPANG -  Pasukan SMK Meru kuasai Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun Edisi 1/2018 apabila berjaya menjulang piala kejohanan dengan penyertaan sulung pada tahun ini.

Jurulatih pasukan Nor Hisham Abas berkata, beliau sangat berbangga dengan pencapaian SMK Meru yang bergelar juara buat pertama kalinya dalam kejohanan besar itu.

"Pasukan ini bukan sahaja bergelar juara malah menyapu bersih anugerah kejohanan," katanya.

Menurut beliau, jika dilihat pada perlawanan final, kredit pada mereka kerana asakan demi asakan diberikan SMK Meru kepada pihak lawan iaitu SMK Seksyen Sebelas sehingga berjaya menjaringkan gol sebanyak 3-0.

“Pasukan lawan juga tidak kurang hebatnya dengan serangan demi serangan yang dilakukan namun kemenangan berpihak kepada kami," katanya.

Kata Nor Hisham, beliau sentiasa memberikan kata semangat kepada pemain agar menonjolkan diri dalam perlawanan  untuk membanggakan keluarga, sekolah dan diri sendiri.

Kehebatan pasukan SMK Meru lebih terserlah apabila penyerang Muhammad Haykal Hakimi Suandi melakukan hatrik dengan menjaringkan ketiga-tiga gol dalam perlawanan akhir yang berlansung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Sepang pada Sabtu lalu.

Sepanjang kejohanan, Muhammad Haykal Hakimi Suandi telah menjaringkan 12 gol termasuk hatrik pada perlawanan akhir sekali gus dinobatkan penerima Anugerah Penjaring Terbanyak.

Muhammad Haykal Hakimi menjaringkan gol pada minit ke-31, minit ke-37 dan minit ke-72.

Dua orang lagi pemain SMK Meru, Muhammad Azim Nadim Mohd Azmi menerima Anugerah Pemain Terbaik manakala Khairul Amar Ahmad merangkul Anugerah Penjaga Gol Terbaik dengan gelaran Tangan Emas.

Antara anugerah lain yang dimenangi SMK Meru adalah Pasukan Sorak Terbaik.

SMK Meru membawa pulang RM8,000, piasa pusingan dan sijil penyertaan, manakala naib johan mendapat wang tunai RM6,000, tempat ketiga, RM4,000 dan tempat keempat, RM2,000.

Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim.

Penaja utama kejohanan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Turut menyumbang Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), GPS Bestari dan Sinar Harian sebagai media rasmi kejohanan.

UNTUK MELIHAT LEBIH GAMBAR DI SINI : SMK MERU BOLOT SEMUA ANUGERAH PIALA DATO’ MOKHTAR DAHARI