PUTRAJAYA - Sambut hari lahir, mengalu-alukan kedatangan murid ke sekolah merupakan aktiviti tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16 (1).

Guru Perpustakaan dan Media Azizah Mohd Mohyin berkata, program yang dinamakan Guru Penyayang bertujuan membudayakan sikap kasih dan sayang supaya mereka berasa dihargai.

"Seramai 120 murid yang lahir pada  Mei, Jun dan Julai diraikan pada majlis yang berlangsung 9 Julai lalu," katanya.

Kata beliau, program sebegitu dapat mengeratkan hubungan guru dan murid.

“Antara aktivit yang kami laksanakan adalah mengalu-alukan kehadiran murid di pintu pagar sekolah setiap hari selain Program Mentor Mentee.

“Pihak sekolah juga memberi penghargaan kepada murid dengan memberi hadiah dan kad hari lahir kepada setiap murid serta memotong kek bersama pentadbir sekolah di atas pentas,” katanya.

Program yang disambut meriah itu lebih bermakna apabila Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menyumbangkan kek dan pihak Nestle turut menyediakan minuman bercoklat serta cenderamata kepada murid.

Pelaksanaan program dirancang sehingga hujung tahun bagi membolehkan murid sekolah itu berasa gembira dan diraikan pihak sekolah.

“Budaya tu memang kita dah buat selama ini cuma kita akan tambah baik lagi untuk sambutan seterusnya.

“Kami harap supaya program ini dapat diteruskan dan melahirkan generasi yang saling berkasih sayang sertas saling menghormati dalam membina negara yang sejahtera,” katanya.

Program turut dikendalikan Guru Bimbingan dan Kaunseling Rohaiza Jusoh dan Nor Salwati Wahid selaku penyelaras program.

[ UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI : AKTIVITI TAHUNAN SK PUTRAJAYA PRESINT 16 (1) UNTUK ERAT HUBUNGAN GURU, MURID ]