KUALA LUMPUR - Sekolah Kebangsaan (SK) Paka, Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang berjaya menggondol Anugerah Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan 2018 bagi kategori sekolah rendah dan menengah membolehkan masing-masing membolot hadiah wang tunai  RM5,000.

Naib johan pula dimenangi SK Kampung Tun Razak, Melaka dan SMK Convent Alor Star, Kedah yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 manakala tempat ketiga menjadi milik SK Wangsa Jaya, Kuala Lumpur dan SMK Raja Mahadi, Selangor yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata semua pihak perlu mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya sesebuah sekolah memiliki kantin yang berkualiti.

"Program kesedaran kantin berkualiti itu perlu melibatkan kerjasama murid, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk bersama-sama memastikan kantin sentiasa bersih dan tahap keselamatan makanan terjamin.

“Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018 ini diadakan bagi melengkapkan usaha pihak kementerian meningkatkan kefahaman serta memupuk amalan kebersihan, kesihatan dan keselamatan makanan dalam kalangan pelajar.

“Tujuannya juga untuk mengeratkan lagi kerjasama antara pengusaha kantin, warga sekolah dan PIBG. Kami mahu pengiktirafan diberikan kepada pengusaha kantin dan juga warga sekolah serta pihak PIBG berikutan ketiga-tiga kelompok ini merupakan enjin dalam meningkatkan mutu kesihatan, kebersihan dan keselamatan  kantin sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Anugerah Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan 2018, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Nie Ching berkata, bagi mendedahkan pelajar cara bagaimana menjaga kesihatan sejak usia muda lagi, pihak kementerian turut mengambil inisiatif melancarkan 'Table Talk' Amalan Cara Hidup Sihat.

Anugerah itu merupakan anjuran bersama Farm Fresh Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia bermula 1 April sehingga 21 September lalu.

Pertandingan itu melibatkan 16 sekolah rendah dan bakinya sekolah menengah yang dipilih di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan diadakan bagi menerapkan  budaya penyediaan makanan yang sihat dan selamat di setiap rantaian makanan serta meningkatkan kesedaran kepada warga sekolah mengenai kepentingan  kesihatan, kebersihan dan keselamatan makanan.

Sempena Anugerah Amalan Perkhidmatan Kantin Terbaik 2018, Farm Fresh mengadakan program School Attack: Farm To School di mana skuad susu syarikat mengunjungi sekolah yang terpilih untuk berinteraksi dengan pelajar dan guru mengenai kebaikan susu menerusi aktiviti yang ditetapkan.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Table Talk Amalan Cara Hidup Sihat yang akan diletak di sekolah rendah bermula bulan ini.

Sementara itu, Anugerah Perkhidmatan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan 2018 turut mempertandingkan kategori Video Generasi Farm Fresh serta Kantin Sihat dan Segar.