JASIN – Bagi menyelamatkan masyarakat daripada wabak denggi yang semakin berleluasa di daerah ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Air Baruk melaksanakan kempen Kitar Semula dan Bebas Denggi untuk Program Eco Schools anjuran WWF Malaysia.

Guru Besar SK Air Baruk Nizam Aziz berkata, dengan komitmen tinggi warga sekolah, melalui dua kempen itu SK Air Baruk berjaya menerima Anugerah Green Flag Award daripada penganjur.

"Kami memilih dua kempen ini untuk memberikan pendedahan kepada murid supaya menjaga kawasan persekitaran supaya sentiasa bersih kerana Jasin adalah kawasan berisiko tinggi.

“Pada program ini murid menjadi penyampai maklumat kepada keluarga mereka dengan pendedahan yang diberikan di sekolah," katanya.

Bagi Nizam, pada peringkat usia murid ini, mereka jujur dan tidak pandai menipu jadi apabila mereka menyampaikan maklumat ibu bapa mereka akan dengar.

Menurut Nizam, sekolah itu terdiri daripada 62 guru dan 657 murid termasuklah murid pra sekolah dan kempen itu dikendalikan Penasihat Kelab Doktor Muda dan Eco School Reainah Jaafar.

“Pada awal kempen kami menghadapi pelbagai cabaran teruma kekangan masa, dana dan kepakaran yang sangat diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika kunjungan WWF Malaysia ke SK Air Baruk 27 September lalu.

Nizam berkata, mereka juga mempromosikan program Eco Schools kepada sekolah lain untuk sama-sama memelihara alam sekitar.

Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang dan mendapat kerjasama daripada komuniti luar dari segi kepakaran serta dana bagi melaksanakan program yang lebih menarik.

Kunjungan turut dihadiri Pegawai Kanan Komunikasi Program Pendidikan Pembangunan Lestari Farisha Zainol dan Pengarah Projek GreenGrowth Asia Foundation Sri Themudu Baboo sebagai wakil WWF Malaysia.

[ UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI: MISI SELAMATKAN MASYARAKAT DARIPADA DENGGI MELAYAKKAN SK AIR BARUK TERIMA ANUGERAH GREEN FLAG ]