RANTAU PANJANG - Seramai 3,025 murid sesi pagi dan petang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, di sini diraikan dalam sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah Tahun 2018 awal November lalu.

Sambutan bertemakan ‘Kanak-kanak Permata Negara’ bermula seawal jam 8 pagi diadakan di Dataran Haji Shaharudin di sekolah berkenaan disambut meriah dengan pelbagai aktiviti khas untuk murid.

Pengarah program yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Norafizan Mohd Razaif berkata, setiap tahun Hari Kanak-Kanak akan disambut dengan penuh keceriaan dan ini adalah sambutan kali ke-49 sejak diadakan 1960.

“Bagi meraikan murid kami mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik dikhaskan untuk mereka. Tambahan pula sambutan pada kali ini agak meriah kerana turut meraikan murid tahun 6 yang telah selesai menduduki Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Tahun ini juga rezeki murid yang memerlukan bantuan murah kerana mendapat sumbangan daripada Yayasan Kossan, McDonald’s, Syarikat Cocoaland dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya kepada GPSBestari.com

Menurut Norafizan, Yayasan Kossan mula bekerjasama dengan SK Rantau Panjang sejak Oktober 2016 lagi.

Sumbangan pertama yayasan itu berupa kerusi dan meja sebanyak 100 set serta peruntukan cat bagi menceriakan tiga kelas di Blok D pada awal Januari 2017.

Tambahnya, Yayasan Kossan juga menyumbangkan barangan kelengkapan sekolah kepada 20 murid miskin penghujung November 2017.

“Awal tahun 2018 Yayasan Kossan skali lagi memberi sumbangan sebanyak 100 set kerusi meja untuk kegunaan di dua kelas.

“Yayasan Kossan turut menaja keperluan kelas tersebut dengan kelengkapan pembelajaran abad ke-21 dan berjaya install dua smart TV untuk 2 kelas pada September lepas,” katanya.

Norafizan berkata, bagi hujung tahun ini dalam program Back to School 2019, Yayasan Kossan telah menyumbangkan kelengkapan sekolah kepada 50 murid yatim dan miskin, manakala McDonald’s pula menyumbangkan 20 beg sekolah beserta kelengkapan persekolahan kepada 20 murid yang terpilih.

Hadir sama, Guru Besar SK Rantau Panjang, Azizah Mat; Naib Presiden Yayasan Kossan, Edward Yip; wakil McDonald’s, M Veni Rajendran; wakil daripada Cocoaland Lot 100, Tan Yoke Sim dan Yang DiPertua (YDP) PIBG, Jailani Mahadi.

UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI: HARI KANAK-KANAK SK RANTAU PANJANG DISAMBUT MERIAH, REZEKI MURID KURANG MAMPU MELIMPAH