JELEBU - Berlatih 3 jam setiap hari dengan semangat dan disiplin tinggi sejak tahun lalu akhirnya kini pasukan caklempong Lentera Kesuma sudah boleh tersenyum bangga apabila meraih pelbagai pingat dalam pelbagai pertandingan dan johan di peringkat kebangsaan.

Pasukan yang terdiri daripada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan ini dibimbing oleh seorang guru hebat yang menjadi Guru Penasihat Lentera Kesuma, Nurin Alyani Bizaini.

Menurut Nurin Alyani, beliau mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan itu untuk memartabatkan seni persembahan caklempong.

"Kumpulan yang ditubuhkan tahun lalu itu dianggotai 25 pelajar tingkatan 2 hingga 4 dan sering menyertai pertandingan muzik dan seni persembahan tradisional di seluruh negara," katanya.

Tambahnya, bakat dan kreativiti ahli kumpulan Lentera Kesuma telah terbukti apabila pernah dinobatkan sebagai juara kategori caklempong dalam beberapa pertandingan muzik di peringkat kebangsaan.

Pasukan itu juga pernah muncul sebagai johan di Festival Seni Muzik Tradisional dan Seni Tari MRSM Se-Malaysia (Fesma) yang diadakan di MRSM Transkrian, Pulau Pinang pada tahun lalu.

Lebih manis apabila Lentera Kesuma pernah memenangi Anugerah Emas sempena Festival Kesenian Muzik Sekolah-sekolah Menengah Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali ke-10, 2018 yang diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, dengan diadili komposer irama Malaysia terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Kata Nurin Alyani, resipi kejayaan mereka cukup mudah.

“Sikap saling bekerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi membuatkan kami mencipta kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan pelajar dalam caklempong membawa pelbagai impak positif.

Bakat luar biasa pelajar dalam pasukan itu menjadikan persembahan Lentera Kesuma unik dan mempunyai identiti tersendiri.

“Seni persembahan caklempong melatih mereka untuk lebih berdisiplin dan membantu membina semangat kerjasama berpasukan,” katanya.

Dalam pada itu, persembahan Lentera Kesuma boleh dikatakan unik berbanding kumpulan caklempong yang lain, kerana menyelitkan elemen tarian, nyanyian dan sorakan.

Selain mahir bermain setiap alat muzik caklempong, ahli kumpulan itu juga mampu menyusun sendiri lagu yang ingin dipersembahkan, sama ada lagu tradisional atau moden.

Pelajar tingkatan 4, Anas Azul Sidek berkata, penyertaannya dalam seni persembahan caklempong sebagai salah satu rekreasi untuk mengisi waktu senggang di asrama.

“Saya minat muzik. Bila dalam bidang ini, ia secara tidak langsung memberikan saya idea baru untuk berkarya,” katanya yang mengepalai kumpulan Lentera Kesuma ini.

Selain menerima pelbagai anugerah, Lentera Kesuma turut dijemput membuat persembahan dalam majlis berprestij tinggi malah mengadakan persembahan bagi Majlis Makan Malam The 19th General Session of The African-Asian Rural Development Organization (AARDO) conference and 69th and 70th Sessions of AARDO Executive Committee di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Pasukan Lentera Kesuma turut membuat persembahan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Konsert Inspirasi Muzikal, mewakili genre muzik caklempong.

Konsert itu turut memuatkan persembahan dari kumpulan seni tradisional lain, seperti tarian tradisional, ghazal, gamelan dan nyanyian.

 

INFO

- Caklempong merupakan alat muzik tradisional yang berasal dari Minangkabau dan tergolong dalam keluarga gong yang berukuran kecil.

- Ia diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan.

- Caklempong mula berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan yang berasal dari Minangkabau atau Sumatera Barat, Indonesia.

- Kini kesenian muzik caklempong telah bertapak di negeri lain dan diajar di sekolah serta pusat pengajian tinggi.

- Caklempong biasanya dimainkan bersama iringan alat muzik lain seperti Seruling Buluh, Salung, Rebana dan Gong bagi mengiringi Pencak Silat, Tarian Lilin, Randai dan Tarian Inai serta lagu bunyi-bunyian dan nyanyian.

Sumber: Wikipedia

 

[ GAMBAR BERKAITAN: BERLATIH 3 JAM TIAP HARI, GURU INI GILAP BAKAT PELAJAR MRSM DALAM CAKLEMPONG ]