KOTA BHARU - Bagi membantu sekolah angkatnya menjayakan projek untuk untuk kolokium di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), penerima Anugerah Guru Cemerlang Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (Stem), Norhailmi Abdul Mutalib berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1.

Norhailmi berkata, dia memberi perkongsian dalam Bengkel Pembelajaran Berasaskan Projek bagi topik penjelajahan  angkasa lepas yang bertajuk Misi ke Marikh bersama pelajar bersempena Kolokium Stem Zon Kelantan.

Bengkel melibatkan pelajar tingkatan 2 seramai 40 orang pada 13 Ogos lalu.

"SMK Pengkalan Chepa 1 ini sudah dianggap seperti sekolah angkat saya bagi kolokium ini disebabkan bantuan yang diberikan untuk persiapan bengkel bagi kolokium di UMK.

“Tajuk ‘Mission to Mars’ menjadi pilihan kerana pelajar perlu membuat projek menghasilkan kenderaan untuk kegunaan di Marikh berdasarkan situasi yang diberikan," katanya.

Kata beliau, setiap kumpulan kena cipta satu Lander (kenderaan yang akan mendarat di Marikh) dan juga Rover (kenderaan yang akan bergerak di permukaan Marikh).

Norhailmi yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Hailmi berkata, tujuan bengkel sebenarnya untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai pendekatan pembelajaran berasaskan projek dalam Stem.

“Selain bertujuan memberi pendedahan kepada bidang penjelajahan angkasa lepas di mana selepas saya ikuti satu kursus guru antarabangsa bersama National Aeronautics and Space Administration (NASA) di US Space and Rocket Center di Alabama, Amerika Syarikat pada 13 hingga 19 Jun yang lalu.

"Saya harap bengkel ini dapat meningkatkan minat pelajar terhadap bidang Stem, terutamanya angkasa lepas,” ujarnya yang juga merupakan Guru Cemerlang Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerlun Kedah.

[ UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI : BERTUAH PELAJAR SMK PENGKALAN CHEPA 1 DAPAT BIMBINGAN CIKGU HAILMI UNTUK SIAPKAN PROJEK MISI KE MARIKH ]