KUALA NERANG - Sekolah Menengah Agama (SMA) Daril Iktisam harumkan nama sekolah setelah empat pelajarnya layak ke peringkat kebangsaan dalam enam pertandingan yang diadakan sepanjang tahun ini.

Setiausaha sukan sekolah, Khairil Haffez Sahidan berkata, pencapaian itu sangat membanggakan kerana sekolah tersebut kategori sekolah luar bandar dengan bilangan pelajar seramai 300 orang sahaja.

"Walaupun dikategorikan sebagai sekolah luar bandar, kami berjaya melahirkan pelajar yang berbakat hingga mengharumkan nama sekolah ke peringkat kebangsaan.

"Antara bidang tersebut ialah pingpong, rentas halangan, keusahawanan, perkhemahan, syair dan catur," katanya.

Mereka yang telah mengharumkan nama sekolah, salah seorangnya Siti Balqis Mat Rozi yang menyumbangkan pingat gangsa dalam acara pingpong Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Menengah Agama Malaysia (Kesumma) 2018 selain pelbagai sukan lain yang diceburi.

Sementara itu Muhammad Haikal Mohd Firdaus menyumbang pingat gangsa acara rentas halangan dan acara keusahawanan serta terpilih untuk Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Kebangsaan 2018 yang pada 14 hingga 17 Julai lalu.

Nur Afiqah Ilyana Muhamad Naim pula berjaya ke peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Deklamasi Syair di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur yang berlangsung 5 Ogos lalu.

Seorang lagi pelajar, Nur Aisyah Nabilah Mohamad Asri berjaya ke Pertandingan Catur Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Terengganu.

Walaupun Nur Aisyah Nabilah pelajar pintar Matematik ini baru sahaja melibatkan diri dalam bidang itu namun dia telah berjaya mengorak langkah ke peringkat kebangsaan.

“Pelajar ini semua baru tingkatan 4 jadi saya harap mereka mengulangi kejayaan atau meningkatkan lagi kejayaan pada tahun hadapan.

"Mereka juga menjadi idola dan inspirasi kepada pelajar lain untuk berjaya di peringkat yang tertinggi,” katanya.

Beliau turut berharap agar kejayaan berkenaan membuka mata ibu bapa walaupun berstatus sekolah agama pihak sekolah juga menitik beratkan akademik dan kokurikulum pelajar.

UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI : EMPAT PELAJAR SEKOLAH AGAMA DI LUAR BANDAR INI BERJAYA MARA KE PERINGKAT KEBANGSAAN