BANDAR RENGGAM - Pasukan CEP Renggam A muncul johan pada Pertandingan Soccer Kids 7 Sebelah Bawah 12 Tahun yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Renggam, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Kelab Superkids Renggam dengan kerjasama Parlimen Simpang Renggam dan SK Bandar Renggam itu juga turut menyaksikan pasukan SK Machap muncul naib johan pada pertandingan tersebut.

Johan menerima piala pusingan, medal dan wang tunai RM300 manakala naib johan memenangi medal dan wang tunai RM200.

Sebanyak dua pasukan berjaya ke peringkat akhir iaitu pasukan CEP Renggam A dan pasukan SK Machap.

Pasukan tersebut mengalahkan dua pasukan lain iaitu SK Simpang Renggam dan Combat Fighters.

Timbalan Pengurus 1 Soccer Kids, Mohd Sofian Othman berkata, program kali pertama itu sangat bermakna kepada semua pihak kerana Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sudi hadir merasmikan pertandingan.

"Ia menjadi kenangan yang terindah buat kami semua apatah lagi dengan kedatangan beliau, memberi peluang kepada peserta cilik untuk mengenali dengan lebih dekat siapa sebenarnya Dr Maszlee," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pertandingan Soccer Kids dilihat sebagai medan untuk murid menonjolkan bakat masing-masing.

"Kita miliki ramai bakat muda dalam arena sukan bola sepak.

"Dengan adanya pertandingan seperti ini, secara tidak langsung kita dapat mencungkil bakat sebenar mereka dan seterusnya membawa peserta ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: CEP RENGGAM A AKHIRNYA MUNCUL JUARA ]