MERSING - "Belum habis program, ibu bapa dan penjaga murid sudah bertanya bila program seumpama ini akan diadakan lagi."

Demikian kata guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 1, Roslee Abdul@Mohd.

Program Selesai Linus bersama waris murid sekolah itu disertai 20 murid tahun 1 hingga 3 dan seramai 25 ibu bapa serta penjaga yang hadir.

Kata Roslee, program itu bertujuan ibu bapa menguasai kaedah yang tepat mengajar anak yang tidak menguasai 3M (membaca, menulis, mengira).

"Ia dedahkan cara bagaimana ibu bapa boleh membantu guru mengajar anak-anak yang tidak kuasai 3M ini.. belajar di rumah dengan betul.

"Dengan program ini, ibu bapa juga dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anak yang tidak menguasai 3M secara lebih mendalam," katanya yang juga merangkap Pengerusi Majlis  Permuafakatan Guru Pemulihan Johor dan Jurulatih Utama Program Pemulihan Khas Kebangsaan.  

 

[LAGI GAMBAR DI SINI]

 

Menurutnya, program seumpama itu juga turut memberi pendedahan pendidikan tingkah laku anak kepada ibu bapa.

"Saya sebagai penceramah dan program diurus oleh Unit Pemulihan Khas dan Linus SK Nitar 1. Saya banyak buat ceramah dan bengkel seperti ini di sekolah lain serta di seluruh  negara.

"Dari situ, guru besar kami, Shafei Yusof dan pengurusan mencadangkn agar saya berikan pendedahan ilmu ini kepada ibu bapa seperti mana saya lakukan di tempat lain," jelasnya.

Katanya lagi, atas inisiatif pihak pentadbir sekolah dan bantuan kewangan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), program tersebut dapat berjalan lancar dan mendatangkan impak yang amat positif.

"Sebelum ini setiap tahun ibu bapa hanya diberikan ceramah mengenai Linus sahaja. Teknik dan kaedah dinamakan Peta Bingkai Superlee ini saya hanya gunakan di  kelas pemulihan khas saya sahaja," katanya yang juga Guru Inovasi Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa. 

Program berkenaan juga mendapat sokongan Pegawai Fasilinus Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mersing dan Pegawai Pemulihan Khas PPD Mersing.