SUNGAI BULOH - Seramai 7 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman menerima anugerah khas sempena Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Kali Ke-7, baru-baru ini.

Mereka ialah Amir Fahimi Mohd Fahmi dan Syaza Amirah Mohd Khairul Amil (masing-masing menerima anugerah kategori Tokoh j-Qaf); Muhammad Mu’adz Wajdi Kamal Sharizal dan Nur Sara Nabilah Mohd Shukry (Tokoh Harapan); Amir Fahimi Mohd Fahmi dan Fatini Aliah Ahmad Fauzan (Tokoh Murid) dan Syaza Alya Kamaruzaman (Tokoh Nilam).

Turut disampaikan Anugerah Sinar Mutiara (murid pemulihan) dan Anugerah Nilam (pembaca terbanyak mengikut aliran tahun 1 - 6) kepada murid yang layak.

Tidak ketinggalan juga, penyampaian hadiah dan sijil kepada murid dalam kelas, aliran, tertinggi dalam mata pelajaran dan lonjakan saujana kepada murid tahun 1 hingga 6.

Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik Kali Ke-7 itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SK Desa Aman.

Seramai 270 murid menerima hadiah dan sijil.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah bertujuan meraikan kejayaan murid dalam bidang akademik.

Selain beliau, turut hadir pada majlis berkenaan ialah Guru Besar Shahidan Said; Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran dan Kurikulum Norhamidi Mohd Ansor dan GPK Hal Ehwal Murid (HEM) Mohd Aminorfazla Aminordin.

Hadir sama GPK Kokurikulum Abdul Halim Wan Hassan, GPK Petang Anum Sagaf dan Yang Dipertua PIBG, Abdul Aziz Hassan serta tiga pengerusi penduduk Taman Desa Coalfields.

Sementara itu, Shahidan bersyukur kerana majlis berjalan dengan lancar dan mengikut tentatif yang dirancang.

"Saya berbangga dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran Datuk Muhammad Nasir yang sanggup meluangkan masa menghadiri majlis ini selain menyumbang al-Quran dwi bahasa dan buku untuk kegunaan pusat sumber sekolah ini," katanya.

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: 7 MURID TERIMA ANUGERAH, 263 LAGI DAPAT HADIAH DAN SIJIL.. INI SK DESA AMAN RAI BUDAK PANDAI ]