SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, di sini terpilih sebagai tuan rumah dan dijadikan sekolah penanda aras untuk keceriaan sekolah dalam Projek Sekolah Ceria antara 50 sekolah di Peringkat Daerah Petaling Perdana.

Majlis menandatangani memorandum kerjasama projek sekolah ceria antara 50 sekolah Daerah Petaling Perdana diadakan pada 24 Julai lalu bertempat di sekolah itu.

Penyelaras projek, Mohamad Khamidon Sadi berkata, antara tujuan utama adalah untuk memastikan keceriaan sekolah terus dimartabatkan demi mewujudkan prasarana sekolah yang lebih kondusif dan dapat meningkatkan rasa kecintaan di hati warga sekolah supaya lebih menyayangi sekolah umpama 'Rumahku Syurgaku'.

“Telah terbukti sekolah yang ceria berjaya mengundang anak untuk hadir ke sekolah dengan hati yang gembira dan seronok malah berjaya mengurangkan kadar ponteng sekolah serta masalah vandalisme juga dapat dikurangkan.

“Justeru tujuan majlis menandatangani memorandum diadakan adalah untuk memudahkan proses pertukaran idea, pembangunan keceriaan secara bersama dapat digerakkan secara bersepadu dalam kalangan sekolah yang terlibat di Daerah Petaling Perdana,” katanya.

Menurutnya, tema projek keceriaan sekolah ini adalah pelestarian sekolah ceria dan dijangka bakal menguntungkan pihak sekolah serta pelajar itu sendiri.

“Projek keceriaan sekolah ini bukan hanya untuk beriltizam menaiktaraf prasarana keceriaan sekolah semata-mata tetapi dijangka ia juga adalah alternatif untuk mengurangkan kadar vandalisme di sekolah masing- masing,” katanya lagi.

Seramai 50 Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) yang terlibat dalam majlis menandatangai memorandum tersebut antaranya SMK Seksyen 24, SMK Sekyen 9, SMK Puchong Perdana, SMK Subang Bestari, Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang Jaya dan SMK USJ 8.
 

UNTUK MELIHAT LEBIH BANYAK GAMBAR DI SINI: SMK SEKSYEN 16 DIJADIKAN PENANDA ARAS UNTUK KECERIAAN SEKOLAH... INI YANG CIKGU DONZE LAKUKAN