SHAH ALAM - Peluang bertemu dan berinteraksi dengan pelajar dari Jepun cukup mengujakan 170 pelajar tingkatan 1 hingga 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, baru-baru ini.

Kedatangan pelajar antarabangsa itu bukanlah sepanjang masa dan pelajar Malaysia yang terpilih untuk bertemu dengan mereka, pastinya menganggap ia kenangan terindah.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Seksyen 18 Shah Alam, Hafizah Abdul Samad berkata, Program Foster Friendship SMK Seksyen 18 Shah Alam dan Ikubunkan Institute of Education Japan, yang diadakan 19 November lalu, cukup istimewa sekali.

“Selain memberi peluang pelajar kita beramah mesra dengan pelajar Jepun, program sebegini juga secara tidak langsung memberi laluan untuk kita mengetengahkan adat dan budaya tradisional masyarakat Melayu kepada masyarakat Jepun,” ujarnya.

Beliau yang juga penyelaras program memberitahu, pemilihan sekolah untuk terlibat dalam program tersebut dianggap sebagai ‘rezeki ALLAH SWT’.

“Pada mulanya, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din bersama wakil dari Carees Travel Japan, Dr Amirudin telah mendapatkan info daripada pihak yang berkaitan dengan pendidikan.

"Kemudian, mereka telah membuat pertemuan dengan Pengetua Siti Khadijah Awang Seman (kini mantan) bagi membincangkan perkara tersebut.

"Perbincangan demi perbincangan diadakan dan akhirnya pihak sekolah bersetuju untuk berkolaboratif dalam program berkenaan,” katanya.

Program Foster Friendship berlangsung selama sehari iaitu bermula jam 7.30 pagi dan berakhir 4.30 petang di Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 dianjurkan oleh Tourism Selangor dan Carees Travel Japan.

Seramai 170 pelajar tingkatan 1 hingga 4 menyertai program tersebut manakala pelajar Jepun pula seramai 170 orang dan 10 guru.

Manakala dari SMK Seksyen 18, seramai 16 guru turut serta termasuk Pengetua, Ahmad Kamal Idris dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Norani Husain.

Lebih manis, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan merasmikan majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dalam ucapannya, memuji usaha yang dilakukan dan berharap ia akan diadakan lagi pada masa akan datang.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim dan YDP Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Masdiana Muhamad.

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: Dapat berinteraksi dengan pelajar Jepun dan juga dapat bertemu dengan permaisuri Selangor ]