YANGON - MYANMAR. Sebuah keluarga pelarian Rohingya dilaporkan kembali ke Myanmar dari Bangladesh walaupun perjanjian penghantaran pulang masih belum dilaksanakan.

Semalam, Global New Light of Myanmar melaporkan lima sekeluarga itu pulang ke Rakhine pada pagi Rabu.

Pesuruhjaya kem Rohingya, Mohammad Abul Kalam dalam satu kenyataan berkata, dia hanya mengetahui tentang keluarga tersebut meninggalkan kem penempatan itu, namun tidak menerima pengesahan rasmi tentang kepulangan mereka.

"Sesiapa boleh kembali ke Rakhine atas kemahuan mereka. Tetapi, proses penghantaran pulang secara rasmi belum bermula," jelasnya.

Sementara itu, pemimpin kem Rohingya, Abdur Rahim memberitahu keluarga tersebut sebelum ini menetap di kem Balukhali di daerah Cox's Bazar.

"Mereka pulang ke kampung halaman mereka berhampiran Maungdaw di Rakhine," ujarnya lagi.

Gelombang keganasan baharu di negeri bergolak itu pada Ogos tahun lalu menyaksikan lebih 720,000 melarikan diri dan berlindung di kem sesak di Bangladesh.

Myanmar dan Bangladesh telah memeterai perjanjian berhubung penghantaran pulang pelarian Rohingya, namun kebanyakan daripada mereka enggan menerima tawaran itu kerana bimbang tidak mendapat jaminan kerakyatan, akses penjagaan kesihatan dan kebebasan bergerak.

Sejak beberapa bulan lalu, lebih 100 pelarian Rohingya telah kembali ke Rakhine. - Agensi