COX'S BAZAR - BANGLADESH. Puluhan keluarga pelarian Rohingya yang berada dalam senarai penghantaran pulang ke Myanmar pada minggu ini telah meninggalkan kem di Bangladesh, menurut pemimpin golongan itu, semalam.

"Mereka enggan dihantar pulang. Kebanyakan mereka berpindah ke kem lain," kata Abdus Salam di kem Jamtoli terletak kira-kira 40 kilometer di tenggara Cox's Bazar

Kelmarin, kerajaan Myanmar memaklumkan penghantaran pulang kumpulan pertama terdiri daripada 2,000 pelarian akan bermula pada Khamis ini.

"Ia bergantung kepada negara lain (Bangladesh) sama ada proses ini akan berlaku atau tidak. Tetapi, pihak kami perlu bersedia dan kami telah melakukan persediaan itu," kata Menteri Kebajikan Sosial dan Penempatan Semula, Win Myat Aye.

Minggu lalu, lebih 20 individu dalam senarai tersebut memaklumkan mereka enggan dihantar pulang ke Rakhine kerana masih takut dengan tindakan kekerasan oleh tentera.

Pada akhir bulan lalu, Dhaka dan Yangon bersetuju untuk memulakan penghantaran pulang ribuan pelarian Rohingya walaupun agensi pelarian PBB dan kumpulan bantuan menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan situasi di Myanmar. - Reuters