DHAKA - BANGLADESH. Kerajaan Bangladesh akan mula memindahkan 100,000 pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil mulai bulan depan, disebalik amaran kawasan itu terdedah kepada cuaca ganas.

Pada 3 Oktober ini, Perdana Menteri Sheikh Hasina dijadualkan merasmikan pusat perlindungan baharu dibina di Bhashan Char, pulau berlumpur yang muncul dari Teluk Bengal pada 2006.

Pihak berkuasa Bangladesh sebelum ini berkata, mereka mahu memindahkan pelarian dari kem penuh sesak berhampiran sempadan dengan Myanmar ke pulau itu Jun lalu, sebelum musim monsun bermula.

Kumpulan hak asasi memberi amaran, pulau berkelodak itu tidak sesuai dihuni serta terdedah banjir dan bencana alam lain dan menggesa Bangladesh melupakan hasrat itu.

Namun kerajaan melabur AS$280 juta (RM1.16 bilion) November lalu untuk menukarnya ke tapak boleh dihuni.

Seorang pegawai tentera laut berkata, pihaknya mempercepatkan pembinaan pusat perlindungan dan pemindahan untuk 100,000 pelarian serta hampir tiga perempat daripada projek itu kini selesai malah tembok setinggi tiga meter didirikan di sekitar seluruh pulau untuk dijadikan rintangan banjir.

“Pada mulanya, antara 50 hingga 60 keluarga Rohingya akan ditempatkan dalam fasa pertama bermula bulan depan,” kata pegawai berkenaan, Habibul Kabir Chowdhury.

Bangladesh, sebuah negara tanah rendah, sering mengalami siklon tropika, terutama di Teluk Bengal antara April dan November.

Ratusan ribu orang maut akibat bencana alam sejak 50 tahun lalu, kebanyakannya di kawasan tepi pantai berhampiran Bhashan Char. - AFP