WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Penutupan separa kerajaan Amerika Syarikat (AS) dijangka berterusan sehingga sambutan Hari Natal selepas tiada kesepakatan dicapai untuk memecahkan kebuntuan tentang bajet pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico yang diminta Presiden Donald Trump.

Senat yang mempunyai kuasa untuk meluluskan rang undang-undang perbelanjaan persekutuan itu telah menangguhkan sesi pada Khamis ini.

Situasi tersebut telah menyebabkan jutawan hartanah terbabit terpaksa membatalkan percutiannya ke Florida dan menghabiskan cuti musim perayaan itu di Washington.

Penutupan itu bermula pada tengah malam Jumaat lalu selepas Demokrat menolak permintaan Trump sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion) untuk projek pembinaan tembok kontroversi tersebut.

Demokrat turut menempelak pemimpin tersebut yang masih berkeras untuk meneruskan projek itu.

Langkah itu menyaksikan sembilan daripada 15 jabatan persekutuan termasuk Jabatan Negeri, Keselamatan Dalam Negeri, Pengangkutan, Pertanian dan Kehakiman ditutup selepas pembiayaan ke atas mereka tamat tempoh.

Ratusan ribu kakitangan persekutuan terpaksa bekerja tanpa dibayar gaji atau mengambil cuti sementara.Difahamkan, Senat telah mengadakan sidang luar biasa, semalam, namun masih gagal mencapai sebarang persetujuan.

Pemimpin Demokrat, Chuck Schumer berkata, rang undang-undang bajet itu yang diluluskan Dewan Perwakilan dikuasai parti Republikan pada Khamis lalu tidak akan sesekali mendapat kelulusan Senat.

"Jadi Presiden, jika anda mahu buka kerajaan, anda perlu melupakan tembok tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Trump menerusi Twitter memberitahu mereka sedang berunding dengan Demokrat tentang keperluan mendesak untuk melindungi keselamatan sempadan dan ia mungkin mengambil masa yang lama.

Beliau sekali lagi mempertahankan projek tembok sempadan kontroversi itu.

"Krisis aktiviti haram di sempadan selatan negara ini sememangnya nyata dan ia tidak akan berakhir selagi kita tidak membina tembok kukuh. Ayuh mulakan projek itu!" katanya. - Agensi