WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Siasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendapati tentera melancarkan kempen 'terancang dan diselaraskan'  pembunuhan dan rogol beramai-ramai serta kekejaman lain ke atas etnik minoriti Rohingya.

Menurut pegawai di Washington, laporan Jabatan Negara AS yang diterbitkan, semalam boleh digunakan untuk  sekatan lanjut dan langkah punitif terhadap pihak berkuasa Myanmar.

Keputusan laporan itu adalah hasil temu bual bersama lebih seribu pelarian Rohingya yang mendapatkan perlindungan di kem penempatan sesak di Bangladesh.

"Kaji selidik itu mendedahkan keganasan di Rakhine itu adalah jenayah melampau, besar-besaran, meluas dan seolah-olah menjurus ke arah keganasan yang membawa kepada pengusiran penduduk Rohingya.

"Skop dan skala operasi tentera menunjukkan ia terancang dan diselaraskan," jelas kandungan laporan setebal 20 muka surat itu.

Selain itu, mangsa juga menceritakan tentang kekejaman lain termasuk pembunuhan bayi dan kanak-kanak tanpa belas kasihan, penduduk Rohingya ditanam hidup-hidup serta ditembak walaupun tidak bersenjata.

Salah seorang saksi mendakwa empat remaja perempuan Rohingya diculik, diikat dan diperkosa selama tiga hari. Mereka ditinggalkan separuh mati, " katanya.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia dan aktivis meletakkan jumlah kematian mencecah ribuan orang selepas gelombang keganasan terbaharu tercetus di Rakhine pada Ogos 2017. - Reuters