NEW DELHI - INDIA. Seorang bayi baru lahir 'terselamat' dalam keadaan masih terikat dengan tali pusat selepas ibunya dipercayai membunuh diri.

Wanita itu dilaporkan menggantung dirinya di kandang lembu pada Khamis lalu.

Kejadian itu berlaku di Katni, Madhya Pradesh di mana bayi itu ditemui di bawah sari ibunya yang dikenali sebagai Laxmi Thakur, 36.

Pihak berkuasa membuat penemuan menggemparkan itu selepas suami wanita terbabit membuat panggilan kecemasan.

Bayi ajaib itu telah dikejarkan ke hospital selepas doktor memotong tali pusat tersebut dan memberi bantuan kecemasan kepadanya.

"Apabila saya tiba di lokasi kejadian, saya temui bayi 'tergantung' di bawah sari. Kami segera membersihkan bayi dan menyelimuti tubuhnya sementara menunggu bantuan perubatan," kata jurucakap polis, Kavita Saini.

Difahamkan, bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan telah dipindahkan ke hospital daerah. - The Mirror