WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Rumah Putih hari ini mengesahkan Amerika Syarikat akan menarik balik tenteranya dari Syria selepas Presiden Donald Trump menyatakan militan Daesh berjaya ‘ditumpaskan’ di negara berkenaan.

Setiausaha akhbarnya, Sarah Sanders berkata tentera AS telah mula dihantar pulang ke tanah air sebagai peralihan ke peringkat kempen yang seterusnya.

Laporan BBC menyebut, kira-kira 2,000 tentera berjaya ‘membersihkan’ sebahagian besar kawasan timur laut Syria yang dikuasai kumpulan militan itu.

Sanders bagaimanapun menegaskan AS dan sekutunya bersedia terbabit semula bagi mempertahan kepentingan negara itu apabila diperlukan.

AS juga akan terus bekerjasama menyekat wilayah yang dikuasai pengganas selain menghentikan pembiayaan, sokongan dan apa cara sekali pun untuk mereka menyusup masuk ke sempadan negara Syria.

Dalam pada itu Trump berkata, sudah tiba masa membawa pulang tentera AS susulan 'kejayaan bersejarah' mereka.- BBC