RIYADH - ARAB SAUDI. Putera Talal Abdul Aziz, abang tiri kepada pemerintah Saudi, Raja Salman meninggal dunia pada usia 87 tahun, semalam.

Berita pemergian beliau disampaikan anaknya, Putera al-Waleed menerusi Twitter.

Beliau yang mempunyai pemikiran liberal dan digelar 'Putera Merah' dikenali sebagai penyokong pembaharuan walaupun kadang kala ia bertentangan dengan pendirian keluarga diraja.

Putera Talal turut memperjuangkan hak membenarkan wanita di Saudi memandu yang akhirnya diberikan kepada golongan itu pada tahun ini.

Dilahirkan pada 1931, Putera Talal mengetuai Dana Teluk Arab untuk Pembangunan, sebuah badan PBB yang mempromosikan pendidikan dan kesihatan di negara membangun.

Di bawah pengaruh bekas presiden Mesir dan pejuang sosialisme pan-Arab, Gamal Abdel Nasser, beliau menubuhkan 'Gerakan Putera Bebas' pada 1960-an yang menggesa perubahan politik substantif di Saudi. - AFP