JAKARTA - INDONESIA.Tsunami yang membadai Selat Sunda susulan letusan gunung berapi Anak Krakatau menyebabkan sekurang-kurangnya 222 orang maut dan 843 yang lain cedera, kata pihak berkuasa Indonesia.

Jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan Sutopo Purwo Nugroho berkata, ratusan bangunan turut musnah akibat gelombang tsunami yang melanda pada jam 9.30 malam waktu tempatan semalam.

Tsunami yang menerjah beberapa kawasan pantai di sekitar Selat Sunda, menyebabkan sekurang-kurangnya 164 orang maut di daerah Pandeglang yang paling teruk terkesan, 11 lagi dilaporkan maut di Serang manakala 48 lagi mangsa terkorban di Lampung Selatan.

Sutopo berkata angka kematian dijangka terus meningkat untuk tempoh beberapa hari berikutan tidak semua mangsa berjaya dipindahkan dan tidak semua lokasi mempunyai data lengkap.

Menurut Pusat Informasi Tsunami Antarabangsa, tsunami yang dicetuskan letusan gunung berapi jarang berlaku, tidak seperti kebiasaan tsunami yang berlaku susulan gempa bumi, keadaaan ini menyebabkan pihak berkuasa gagal memberi amaran awal kepada penduduk.

Agensi Geologi Indonesia berkata, Anak Krakatau menunjukkan peningkatan aktiviti dan mengeluarkan asap tebal sejak beberapa hari lalu.

Setakat ini, jentera berat telah dibawa masuk bagi membantu operasi mencari manakala pusat pemindahan dan dapur umum juga telah mula dibuka untuk kemudahan mangsa.

Pasukan penyelamat bertungkus lumus memindahkan mangsa cedera bagi mendapat rawatan dan membawa bekalan air bersih serta menyediakan tempat perlindungan.- AFP