WANITA ini benar-benar komited. Itu yang terlintas apabila bertemu dan mendengar perkongsian daripada figura Inspirasi Femina kali ini iaitu Zaidatul Afiza Mohd atau lebih dikenali sebagai Za Afiza.

Berusia 38 tahun, wanita ini merupakan seorang yang boleh dijadikan inspirasi kepada wanita lain untuk mencapai kejayaan.

Pada usia sedemikian dan bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Za Afiza terus tekad untuk positifkan diri, berjaya dalam kehidupan dan kerjayanya iaitu sebagai Pengasas Hijab Community Malaysia, perunding imej dan usahawan.

Berkongsi mengenai dirinya, Za Afiza yang berasal dari Terengganu bermula dalam bidang diceburi kini pada tahun 2011 dan 2012 iaitu sebaik sahaja berhenti kerja kerajaan.

“Saya pernah bekerja sebagai setiausaha di sektor kerajaan dan pernah juga bekerja bahagian veterinar di Melaka sebaik tamat pengajian di sebuah kolej.

“Sehingga sekarang saya masih menetap di Melaka dan sering berulang ke Kuala Lumpur jika ada program dan jemputan,” jelasnya kepada Femina.

Kongsinya juga keputusan untuk bertukar kerjaya daripada sektor awam ke bekerja sendiri untuk menjadi usahawan adalah tepat baginya.

“Pada asalnya memang ibu saya menentang dan marah bila saya nak berhenti kerja. Kerana ibu juga adalah bekas pekerja kerajaan dan tiada seorang pun dalam keluarga yang bergiat dalam perniagaan.

“Namun, alhamdulillah, akhirnya dengan tekad dan bukti usaha yang saya lakukan dalam kerjaya kedua ini, akhirnya ibu menerimanya dan menyokong terus usaha saya sehingga kini,” ujarnya.

Suka fesyen sejak di kolej

Bonus rupa paras yang dimiliki juga membantu wanita ini untuk memilih kerjaya sejajar dengan minatnya dalam dunia fesyen dan penampilan.

Buktinya sejak di kolej lagi, dia sudah banyak menyertai aktiviti peragaan pentas fesyen dan menjadi salah seorang model.

“Apabila sudah bekerja di sektor awam juga, saya masih bergiat dalam bidang tersebut apabila hari minggu dan ada juga beberapa kali saya mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan acara peragaan setelah bergiat dalam Hijab Community.

“Akhirnya dengan kekangan masa bekerja di sektor awam dan tanggungjawab kerjaya kedua ini, membuatkan saya nekad berhenti kerja di sektor kerajaan setelah pulang dari umrah pada tahun 2012 untuk fokus dunia fesyen,” katanya.

Pun begitu, biarpun sudah ada pengalaman dan ilmu fesyen serta mengurus acara, Za Afiza masih lagi mencari ilmu untuk menambah lagi kemahirannya dalam dunia fesyen dan penampilan.

Buktinya, sebaik berhenti kerja kerajaan, dia mengambil kursus perunding imej agar imej, keperibadian dan fesyen dapat sejajar dilakukan seterusnya dikongsi dengan yang lain.

Begitu juga tugasnya sebagai perunding imej, apabila banyak menerima jemputan untuk sesi perkongsian ilmu berkaitan imej dengan syarikat-syarikat dan pihak kolej serta universiti.

Usahawan madu, pewangi

Dalam bidang perniagaan pula, jelasnya, dia juga seorang pemilik produk madu dan pewangi fabrik yang beroperasi di Melaka.

“Jenama madu saya, ICrystal Pure yang merangkumi madu stik, sarang madu asli, madu kelulut dan pelbagai lagi jenis madu ada saya jual.

“Namun kerana masalah stok, produk madu ini hanya boleh dijual di Minimart sekitar Selatan sahaja dan belum bersedia untuk keluar. Insya-ALLAH jika stok mencukupi, saya akan pasarkan ia lebih meluas,” jelasnya.

Justeru akui wanita ini, pembahagian masa itu amat penting baginya untuk menguruskan semua tanggungjawab dengan sebaiknya dan tidak mudah putus asa.

“Urusan rumah saya akan pastikan semua selesai sebelum melakukan kerja luar. Dan anak juga faham dengan kerjaya ibunya apabila selalu tidak berada di rumah bersamanya.

“Setiap minggu pula saya akan ke sekolah asrama anak pertama, Tingkatan 1, untuk luangkan masa bersamanya biarpun hanya sekejap pasti saya akan singgah untuk menjenguknya.

 

Mengenai diri Za Afiza

-Tidak suka tunda kerja

-Tidak mudah putus asa

-Masa untuk diri adalah berehat di rumah

-Penjagaan diri yang ringkas

-Amal makanan seimbang

-Amal makan madu untuk tenaga dan kesihatan dalaman

 

Kredit Solekan: IG mimiegurri_mua

Kredit Busana: Maison Helyssa Plaza Alam Sentral