BAGI kebanyakan wanita, selain mementingkan aspek penjagaan kulit wajah dengan produk asas seperti pembersih, toner dan pelembap, solekan juga salah satu rutin penting bagi mereka untuk penampilan lebih menarik.

Biarpun hanya sapuan nipis bedak dan sedikit palitan gincu di bibir, ia sudah memadai, asalkan nampak sedikit berseri, tidak kusam dan pucat. Ada yang mengenakan solekan untuk lebih berkeyakinan.

Pun begitu ada yang mempersoalkan kepentingan solekan itu kepada wanita dan kelihatan jengkel apabila solekan itu berlebih-lebihan. Lagi-lagi yang menyanggah itu adalah suami anda sendiri. Ada suami jenis begini yang cemburu dengan kelebihan isteri, tapi memuji kecantikan wanita lain. Emm... inilah susahnya.

Bersolek kena marah, kalau tak bersolek, suami pula pandang perempuan lain.

(PENGAKUAN)

Nina (bukan nama sebenar) berasal dari Melaka, sering mengeluh apabila niatnya untuk mengenakan sedikit solekan selalu ditentang suaminya.

Dia bukanlah isteri yang sempurna, tetapi untuk suami dan mahu kelihatan menarik di mata suami, dia selalu berusaha memenuhi keperluan dan keinginan itu.

“Bukan bersolek tebal pun. Tapi bila pakai gincu dan bedak, suami kata saya buang tabiat dan marah-marah. Dia tak suka saya bersolek sama ada di rumah dan di luar rumah.

“Tapi bila keluar berjalan atau membeli barang keperluan rumah dengannya, saya selalu perasan jelingan matanya, tak berkedip tengok perempuan bersolek cantik.”

Sebagai isteri dan seperti wanita lain juga, Nina mahu kelihatan cantik dan berkeyakinan ketika berhadapan dengan orang, apatah lagi untuk suami sendiri.

“Sebelum kahwin, saya jenis suka bersolek, ringkas je bukan tebal pun. Tapi sejak kahwin, suami kata dia suka saya tidak bersolek. Saya akurlah.

“Tapi, bila dia lebih suka tengok perempuan lain yang kelihatan cantik dalam solekan, hati saya jadi kecewa dan sedih.”