SOLEKAN diakui dapat menaikkan keyakinan dan tenaga bagi seseorang wanita apabila melakukan aktiviti seharian.

Pengasas Produk Secret Desire (SD), Rozita Baharom berkata, baginya yang pernah menjadi jurusolek dan sering berkongsi ilmu solekan di media sosial bersetuju yang solekan itu penting bagi wanita.

“Penting kerana ia membantu wajah seseorang wanita itu berseri dan tidak pucat ketika keluar ke pejabat atau bertemu pelanggan untuk urusan kerja.

“Ia lebih kepada mahu memberikan keyakinan ketika berhadapan dengan orang lain. Bagi isteri pula, mahu nampak cantik di mata suami, ia bagi saya tidak salah,” katanya kepada Femina.

Rozita atau lebih mesra di sapa Che Ta Pot Pet turut menjelaskan jenis-jenis solekan ada pelbagai kategori, iaitu solekan asas, sederhana dan berat.

Namun jelasnya, tidak sepatutnya untuk wanita itu bersolek sehingga mengubah rupa asal mereka terutama bagi yang beragama Islam.

“Memang saya akui trend solekan dari luar negara yang banyak dikongsi di media sosial kini, menunjukkan perubahan wajah dari tidak cantik kepada cantik apabila mengenakan solekan sehingga berbeza dari wajah asal.

“Ia memang tidak perlu sehingga begitu. Cukup hanya sebagai menutup kusam atau memberikan seri pada wajah, ia sudah mencukupi asalkan rupa wajah asal masih kelihatan sama,” ujarnya.

Dari segi kesedaran wanita mengenai solekan juga, katanya semakin hari semakin meningkat jumlah itu.

Tidak salah belajar di media sosial Apa yang penting dalam solekan pemilihan warna solekan perlu sesuai dengan kulit agar ia nampak sempurna.

Dari segi pembelajaran solekan pula, tiada masalah katanya jika melihat pada tutorial yang diajar oleh jurusolek di dalam media sosial.

“Tetapi jika ingin menjadikan solekan itu sebagai kemahiran, kelas solekan perlu dihadiri untuk lebih kefahaman dan teknik betul dalam solekan,” katanya.

Nasihatnya juga, apa yang lebih penting adalah penjagaan kulit perlu diutamakan berbanding solekan.

Kulit yang bermasalah misalnya tidak disarankan untuk mengenakan solekan terlalu tebal, cukup hanya asas.