SEMPENA bulan Kesedaran Kanser Payudara ini, Roche (Malaysia) Sdn Bhd, salah sebuah syarikat farmaseutikal, memulakan inisiatif ‘We are Pink Fighters – Fight with Her. Survive with Her. Move forward with Her’ untuk meningkatkan kesedaran kesihatan payudara dan pengesanan awal dengan mendidik wanita kepentingan pemeriksaan diri.

Roche Malaysia dengan kerjasama Pusat Perubatan Sunway dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) Malaysia menyediakan ujian saringan payudara, tekanan darah dan glukosa percuma di Sunway Pinnacle baru-baru ini.

Pengurus Besar Roche Malaysia, Lance Duan berkata, tema dan slogan itu direka oleh kakitangan Roche sendiri yang selaras dengan komitmen Roche untuk bersama dengan wanita Malaysia pada setiap langkah yang mereka lalui.

“Bulan Kesedaran Kanser Payudara adalah masa sesuai untuk mengingatkan wanita dalam kehidupan kita supaya membuat pemeriksaan,” katanya.

Presiden BCWA, Ranjit Kaur pula berkata, kerjasama itu menunjukkan matlamat bersama yang dikongsi oleh masyarakat, daripada pesakit, penjaga, badan korporat dan juga orang awam.