PENJAGAAN ketika berpantang itu memang penting. Tidak kira secara tradisional atau moden, asal tubuh badan si ibu dapat kembali sihat dan bertenaga. Dan pemakanan adalah salah satu aspek penting perlu dijaga ketika tempoh ini, termasuk unsur-unsur seperti sejuk, panas dan kering pada sesuatu makanan.

Contoh yang selalu kita dengar ketika berpantang adalah tidak boleh memakan laksa. Kenapa makanan ini perlu dielak dan apa kesannya?

Untuk menjelaskan isu laksa ini dari segi perubatan, Doktor Perubatan dan Pengamal Perubatan Melayu MyBidan House, Dr Suffia Hany Mohd Amin berkata, laksa dan kuahnya boleh dimakan untuk yang sedang berpantang kerana ia tergolong dalam kategori panas.

“Unsur masam, masin dan pedas pada laksa adalah dalam kategori panas. Manakala pedas adalah bersifat panas dan kering. Masam masin bersifat panas dan melembapkan.

"Hanya sayur timun dan salad sahaja bersifat sejuk (maka elakkan dua sayur ini sahaja). Serai dan lengkuas serta daun kantan termasuk kategori panas.

“Justeru, wanita yang berpantang digalakkan makan makanan yang bersifat panas dan kering. Kerana wanita berpantang mengalami pengekalan air (water retention). Jadi seeloknya mereka memakan makanan yang mengandungi halia, lada hitam atau daun kaduk yang berunsur panas," jelasnya.

Tambahnya, makanan yang berunsur panas adalah sangat bagus untuk peredaran darah yang lancar.

"Tetapi yang berunsur sejuk akan menyebabkan ‘sluggishness of blood circulation’ iaitu mengurangkan kelancaran peredaran darah," katanya.

Mengulas akan pengetahuannya mengenai unsur dalam makanan itu, Dr Saffia berkata, ia diketahui hasil pembelajarannya dan kajian terhadap ilmu tersebut.

“Sering dengan masa, biarpun sudah bergelar doktor, saya masih ingin menerokai untuk mempelajari ilmu perubatan herba dan rawatan tradisional Melayu.

“Saya mula mengenali daun, jenis herba yang bersifat sejuk dan panas, kerana bukan mudah untuk terima ilmu baharu. Saya turut masuk ke hutan bagi mengenali jenis dan sifat-sifat daun herba dari segi perubatan Melayu.

“Memang besar ilmu ALLAH yang selama ini saya cari tentang pantang dalam perubatan Melayu. Kini saya semakin faham dan sebagai doktor perubatan moden timbalah lagi ilmu perubatan selain rawatan moden ini,” katanya.

Kesimpulannya, pilihan makanan yang betul semasa berpantang adalah sangat penting untuk mengelak mudarat akibat tersalah makan. Tidak salah mengikut pantang larang dari orang tua perihal makanan ini kerana dari segi perubatan memang ada kebaikannya.