TENAGA yang kurang, pergerakan terbatas dan kesihatan yang belum pulih sepenuhnya setelah melalui tempoh bersalin di samping kehilangan banyak darah oleh ibu-ibu selepas bersalin ini amat perlu dititikberatkan.

Tidak kira berpantang secara tradisional atau moden, penjagaan si ibu itu perlu diutamakan agar kesihatan badan mereka kembali pulih seperti sedia kala.

Namun ketika ini, kesibukan ibu berkerjaya, tidak mahu menyusahkan orang tua untuk menjaga mereka dan perlu mengurus anak bersekolah membataskan ibu-ibu selepas bersalin ini untuk berpantang di kampung iaitu di rumah emak atau nenek ketika zaman dahulu.

Akhirnya mereka terpaksa berpantang sendiri di rumah dan pada masa sama perlu menguruskan hal rumah tangga serta anak-anak yang lain. Sehingga ada beberapa kes seperti yang dilaporkan, ibu berpantang kelar anak atau meroyan kerana alami tekanan ketika tempoh tersebut.

Bagaimanapun, dengan adanya perkhidmatan penjaga selepas bersalin atau bidan yang semakin menjadi trend kini, adalah penyelesaian kepada wanita yang berpantang sendiri.

Pengasas MyBidan House, Riswandi Fairullah Abd Rajak mengakui, yang perkhidmatan penjaga dalam pantang atau tukang urut serta bidan semakin mendapat sambutan terutama bagi warga kota.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2016, kini perkhidmatan tersebut telah memiliki lebih 200 terapis bertauliah yang membantu wanita selepas bersalin menjalani tempoh berpantang.

“Berpantang ini memang penting kerana ia tempoh ibu berehat dan kembalikan kesihatan dalaman selepas melahirkan bayi. Justeru, ketika ini, begitu ramai pengurut menawarkan perkhidmatan urutan berpantang tidak kira sama ada dari warga negara mahupun pendatang asing,

“Namun, apa yang membimbangkan adalah kebanyakan mereka ini tidak mendapatkan latihan formal dan diiktiraf bagi menjalankan tugasan urutan. Secara umum dalam perkhidmatan perbidanan, pengetahuan dan kemahiran yang betul adalah sangat kritikal bagi menjamin kesihatan ibu dan bayi,” katanya kepada Femina ketika ditemui baru-baru ini.

Justeru Riswandi berkata, MyBidan House sangat mengambil serius akan hal tersebut dan setiap terapisnya diberikan latihan lengkap dan juga secara berkala bagi memastikan kemahiran terapis pada tahap terbaik.

“Setiap terapis kami juga telah diberikan ujian untuk memastikan teknik dan pengetahuan yang dimiliki adalah mencukupi sebelum memberikan khidmat kepada bakal pelanggan kami.

“Kita ada doktor perubatan profesional yang menjadi panel untuk MyBidan House serta tukang urut profesional yang diiktiraf, di mana merekalah yang memberi latihan serta ilmu mengenai urutan selepas bersalin dan penjagaan orang berpantang yang sepatutnya dilakukan mengikut prosedur sepatutnya,” jelasnya.

Hasilnya, dengan adanya perkhidmatan seperti ini, ia memudahkan ibu muda menjaga kesihatan dari segi mental dan fizikal dan mengelak kejadian tidak diingini yang sering dihadapi oleh ibu ketika berpantang.

Menariknya MyBidan House ini melatih wanita-wanita asnaf yang daif untuk menjadi terapis agar membantu mereka menjana pendapatan dan keluar dari golongan asnaf. Selain turut menyediakan produk dan keperluan bersalin sendiri yang juga melalui kajian terperinci daripada doktor bertauliah.