SEMEMANGNYA keinginan berkahwin itu bergantung pada seseorang individu dan bukan lagi boleh dipaksa seperti zaman dahulu.

Diakui ramai wanita kini juga lebih mementingkan kerjaya terlebih dahulu berbanding perkahwinan dan mengharapkan duit daripada suami.

Oleh itu, disebabkan mahu mengejar impian dan kerjaya, ramai wanita kini menganggap kahwin awal itu bukan lagi pilihan utama mereka.

Bagaimanapun, masih ada kebaikan apabila kahwin muda terutama dari sudut kesuburan untuk mendapatkan cahaya mata berbanding kahwin lewat.

Bagi yang memilih berkahwin lewat terutama wanita berkerjaya, peluang untuk hamil apabila berkahwin di usia 30 tahun ke atas akan semakin berkurang kesuburan mereka.

Fakta itu dikongsi sendiri oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) terkenal, Prof Dr Harlina Halizah Siraj yang mengakui antara faktor sukar dapat anak ketika ini adalah kerana lewat berkahwin terutama bagi wanita.

“Umur pasangan kita hari ini semakin tua untuk berkahwin dan kesuburan pula bergantung pada umur. Justeru apabila kahwin lewat iaitu umur 30 hingga 40 tahun, peluang dapat zuriat awal agak sukar.

“Namun ia bergantung pada individu juga. Tambahan apabila kahwin muda, peluang dapat anak ramai itu tinggi, dan kahwin lewat, tempoh untuk mendapatkan zuriat yang ramai agak sukar,” katanya kepada Femina.

Menurutnya, berdasarkan kajian kesuburan, waktu kesuburan yang tinggi bagi seseorang wanita adalah ketika umurnya awal 20-an.

“Tetapi kini, wanita ramai pada usia 24 atau 26 tahun masih belajar di peringkat universiti, dan apabila tamat pengajian, mereka memilih untuk bekerja terlebih dahulu sehingga kewangan dan kehidupan peribadi stabil baharu mahu berkahwin.

“Kajian penduduk juga yang dilakukan ke atas wanita dan lelaki bujang mengenai perkahwinan mereka, ramai mengatakan mereka mahu kahwin pada usia 30 tahun bagi wanita dan 32 bagi lelaki.

“Kesannya, kesuburan wanita ketika itu sudah menurun di mana peluang untuk mendapat zuriat rendah,” jelasnya.