RAMAI wanita kini, berlumba-lumba untuk menyampaikan dakwah biar dengan apa cara sekalipun asalkan matinya mereka suatu hari nanti ada bekalan amal yang ditinggalkan untuk menyambung dakwahnya.

Begitulah yang dilakukan Noor Farasyikin Othman, 39, atau lebih dikenali sebagai Fara Othman ketika umurnya 33 tahun, dia sudah mengubah haluan hidupnya ke arah Muslim sebenar dengan menyebar dakwah dengan menjadi sukarelawan.

Fara memulakan perjalanan kerohaniannya pada tahun 2012 dengan latihan dakwah di Putrajaya dengan mengambil kursus memandikan jenazah sebaik sahaja selesai menunaikan umrah pada tahun sama.

Semasa dia melakukan umrah, dia menyedari bahawa dia mahu menjadi ibu, kakak, sahabat dan Muslim yang lebih baik.

“Dan saya mula sedar ketika itu, hadiah terbaik yang boleh diberikan kepada ibu dan bapa adalah dengan amal kebaikan yang dilakukan di dunia ini.

“Sejak itu, mendorong saya mengambil tindakan dan berusaha memperbaiki hubungan dengan ibu bapa, adik-beradik dan orang lain di sekeliling saya dengan usaha dakwah ini,” katanya kepada Femina.

Nyata usaha dan perubahannya itu berbaloi apabila, pada 2016, Fara berjaya melebarkan dakwahnya melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Into Taqwa.

Selaku Pengasas Into Taqwa Malaysia, tujuannya mewujudkan syarikat tersebut bukanlah untuk meraih keuntungan, sebaliknya bertujuan menyematkan takwa ke dalam hati ummah.

“Alhamdulillah dengan keizinan ALLAH, segala yang saya lakukan dipermudahkan sehingga Into Taqwa ini sempurna dirasmikan pada 2016 dan kini telah menyebar ke beberapa buah negara iaitu Bosnia, Brunei, Indonesia, UAE, United Kingdom, Singapura dan Morocco.

“Pelbagai program berbentuk dakwah dan kebajikan telah dijalankan antaranya program bual bicara Into Taqwa With MizzNina yang dikendalikan oleh selebriti terkenal Mizz Nina yang juga duta dan orang kuat dalam Into Taqwa,” jelasnya.

Perluaskan Into Taqwa

Tidak berhenti dengan usahanya dalam Into Taqwa, Fara juga telah merancang untuk meluaskan lagi segmen dakwahnya dengan meneruskan perkhidmatan Home Taqwa Care, mewujudkan program Into al-Aqsa dan Into Hajj serta sebuah lagi rancangan bual bicara Islamik di televisyen.

“Pengalaman mengajar saya untuk mewujudkan semua program ini. Kerana bagi saya, selagi ada ilmu sebarkanlah walau dengan apa cara sekalipun agar orang lain juga mendapat kebaikan daripada usaha kita,” katanya.

Bermula dengan Into al-Aqsa sehingga ke Into Hajj, semuanya telah dilakukan terlebih dahulu oleh Fara bermula tahun lalu lagi sehingga punyai hubungan rapat dengan Imam Besar Masjid Al-Aqsa.

“Selain ketika melakukan haji baru-baru ini, ALLAH memperlihatkan saya dengan pelbagai masalah yang dihadapi oleh jemaah Haji Muasasah yang kurang berkemampuan.

“Sebenarnya, ramai antara jemaah haji dari pelbagai negara mengalami pelbagai keterbatasan dari segi keselamatan dan kebajikan, justeru saya terpanggil untuk membantu ketika itu dengan menyedekahkan makanan setiap hari dan barang keperluan seperti kerusi roda dan sebagainya,” katanya.

Sangat menginsafkan dan menjadikan diri mereka bersyukur dengan apa yang ada apabila bertemu dengan insan-insan sedemikian, sedangkan tiada keluh kesah yang mereka bimbangkan biarpun hanya tidur di kaki lima, kerana mereka percaya yang ALLAH sentiasa bersama mereka.

Oleh sebab itu, Fara tekad mahu wujudkan Into Hajj tersebut, agar dapat bantu mereka yang memerlukan dari segi keselamatan dan kebajikan.

Susun jadual empat

bulan sebelumnyaSibuk dengan perniagaan dan usaha dakwahnya yang hanya dua minggu sebulan berada di Malaysia, tidak menjadikan ibu kepada dua cahaya mata ini mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.

“Jadual harian saya memang padat, jadi untuk mudahkannya dan ada masa untuk hal peribadi serta keluarga, saya akan susun jadual awal iaitu tiga atau empat bulan sebelumnya.

“Penyusunan tersebut juga diajar oleh Islam untuk menjadikan kita hamba yang berdisiplin selain menjaga segala suruhannya.

“Alhamdulillah anak-anak memahami kerjaya dan aktiviti amal yang dijalankan. Ada kalanya mereka mulai mengikuti jejak langkah saya ini ke arah dakwah,” katanya.