(PERSPEKTIF AGAMA)

SOLEKAN memang akan mencantikkan dan menyerikan wajah bagi seseorang wanita, pun begitu dari sudut agama perlu diketahui solekan ini sebenarnya dibolehkan atau tidak.

Pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas berkata, harus untuk seorang wanita bersolek dengan tujuan tampil lebih kemas dan cantik.

Menurutnya, situasi itu adalah fitrah manusia agar seseorang lebih berkeyakinan ketika bergaul dengan masyarakat.

“Hikmah bersolek untuk mendatangkan rasa tenang dan senang antara satu sama lain. Dan Bersolek dalam kalangan kaum wanita tidak terhad kepada wajah sahaja tetapi meliputi sunanul fitrah yang Rasulullah SAW sebutkan sebagai cara untuk membersihkan diri daripada kekotoran dan kecelaan.

“Selain itu solekan yang diharuskan untuk kaum wanita dan juga lelaki mestilah patuh syariah dan masih mengekalkan sifat asli mereka dari segi identiti gender dan perwatakan," katanya.

Dalam hal menaikkan seri wajah, menurut Ustazah Shadiya, ia termasuk bukan sekadar solekan tetapi dari aspek menjaga kesihatan dalaman.

“Penting seri wajah seseorang Muslim ini hingga orang yang memandangnya bukan jatuh hati pada wajah, tetapi tertarik dengan kesolehan pada wajahnya kerana memandangnya sahaja mengingatkan diri kita kepada ALLAH,” ujarnya.

Justeru nasihatnya, jagalah penampilan diri sepertimana Rasulullah SAW menjaga penampilan diri Baginda, yang mana Baginda tidak hanya menyolek wajahnya tetapi merapikan akhlaknya dengan sifat benar, amanah, di samping kebijaksanaan dalam bergaul dengan masyarakat.

“Ramai dalam kalangan kita menghabiskan masa dengan isu solekan dan mempelajarinya hingga berhabis ribuan ringgit, malangnya kita gagal menyolek akhlak seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

3 syarat mesti dipatuhi ketika bersolek:

1 Mestilah berhias untuk suaminya bagi seorang perempuan. Bagi anak dara hendaklah mendapat izin sebelum bersolek. Berhias untuk menutup cela dan memelihara aurat bukannya menunjuk-nunjuk dan meniru orang kafir serta fasik.

2 Alat solekan tidak menghalang dirinya untuk melaksanakan ibadah fardu. Menyolek wajah secara sederhana dan jauh daripada unsur penipuan sehingga menghilangkan keaslian wajahnya seperti yang dilakukan oleh jurusolek di luar negara.

3 Menyolek untuk menutup cela pada wajah dan mestilah bahan solekan atau alat yang digunakan tidak menyebabkan kemudaratan atas kulit.