FOCUS Point Holdings Berhad (Focus Point) sekali lagi melancarkan kempen sempena Hari Penglihatan Sedunia, hari kesedaran antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada isu global yang boleh dielakkan iaitu buta dan cacat penglihatan.

Selaras dengan tema tahun ini ‘Eye Care Everywhere’, Focus Point merancang pelbagai aktiviti yang melibatkan ribuan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat untuk memberi maklumat yang lebih mendalam dan jelas mengenai penjagaan mata dan penglihatan.

Kemuncak kempen ialah Karnival Penjagaan Mata Focus Point sempena Hari Penglihatan Sedunia yang diadakan di Pusat Beli-Belah One Utama sehingga 14 Oktober lalu. Sepanjang karnival itu, pengunjung boleh menjalani pemeriksaan mata secara percuma dan juga mendengar sesi perkongsian daripada pakar penjagaan mata, Dr Wong Jun Shyan, Pakar Perunding Ophthalmologi, ISEC Healthcare yang bercakap mengenai katarak dan Pakar Perunding Ophthalmologi, Beacon Hospital, Dr Ong Chin Tuan, yang berkongsi mengenai kelopak mata.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point, Datuk Liaw Choon Liang berkata, kecacatan visual semakin meningkat di seluruh dunia dengan lebih 1 bilion orang yang mengalami masalah kemerosotan penglihatan jarak dekat di mana laporan menunjukkan bahawa satu daripada setiap 10 kanak-kanak telah didiagnosis dengan beberapa bentuk kecacatan visual.

"Bagaimanapun lebih dari 75 peratus masalah buta dan kecacatan visual dapat dielakkan sekiranya dapat dikesan awal serta penjagaan yang betul’. Justeru visi yang lebih cerah dan jelas bagi semua rakyat Malaysia ini adalah yang terus memacu usaha Focus Point dengan melibatkan diri bersama komuniti sekeliling untuk meningkatkan pemahaman terhadap mata kita, meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan mata yang betul,” katanya.

Semasa pelancaran itu juga, Focus Point mengumumkan kerjasama strategik dengan GoodMorning Global Sdn Bhd (GoodMorning) bagi mewujudkan pandangan yang lebih cerah untuk semua dengan memberi tumpuan kepada mewujudkan kesedaran kesihatan mata.

Melalui kerjasama itu, Focus Point akan memanfaatkan lebih daripada 230 penjagaan mata profesional untuk memberikan tip dan nasihat mengenai penjagaan mata. Sementara itu, GoodMorning akan mempromosikan kesihatan mata yang lebih baik melalui produk VGrains 18 Grains yang kaya dengan anthocyanin, dan lutein yang bermanfaat dalam melindungi penglihatan.