ANAK dara tua atau dahulunya ringkas di panggil andartu, adalah status yang selalu diberikan kepada anak dara yang berkahwin lewat.

Sehingga dahulu, apabila ada anak dara dalam sesebuah keluarga telah berumur 20 tahun masih belum bertemu jodoh, ibu bapa yang akan kelam kabut mencarikan pasangan untuk anak mereka kerana tidak mahu anak daranya digelar andartu.

Namun, mutakhir ini, status itu bukan lagi menjadi masalah dan tidak lagi menjadi polemik kepada wanita kini termasuk keluarga masing-masing.

Dan ada juga wanita yang berkahwin lewat atau belum berkahwin pada usia 30-an ke atas ini ada hujah tersendiri sehingga menganggap kahwin usia muda pula sebagai ketinggalan zaman.

(PENGAKUAN)

Shida (bukan nama sebenar) berasal dari Selangor, mengakui yang dirinya selesa hidup sendiri dan belum berkahwin ketika umurnya menjengah 40 tahun.

Kongsinya, kerjaya dan kehidupan yang dimiliki kini, menjadikan dia selesa untuk hidup sendiri dan merasakan ia sudah lengkap tanpa perlu menambah beban apabila berkahwin kelak.

“Memang perasaan untuk punyai pasangan dan keluarga itu ada, namun sehingga kini, hati belum terbuka untuk menerima lelaki istimewa dalam hidup saya.

“Jika ada jodoh saya terima namun jodoh itu perlu betul-betul stabil kerjanya, lebih besar gajinya dari saya dan jujur. Jika tiada pun saya terima kerana saya selesa begini,” katanya.

Shida juga tidak anggap lambat kahwin itu satu isu besar dan status andartu kini tidak lagi relevan dipakai.

“Sekarang ramai wanita yang berkerjaya dan ada kehidupan selesa dengan ada rumah sendiri, kereta serta kerja yang kukuh. Jadi, wanita seperti ini kebanyakannya tidak terlalu memikirkan hal kahwin pada usia muda.

“Kahwin usia muda pun, jika tidak bahagia, buat apa. Ramai kawan saya yang kahwin usia muda, ada yang bercerai, hadapi pelbagai konflik rumah tangga dan tidak berduit sehingga diri sendiri tidak lagi terurus, seterusnya menyebabkan suami curang.

“Perkara begitu yang saya tidak suka apabila melihat rakan-rakan wanita yang kahwin muda tetapi perkahwinan mereka tidak kekal lama. Lebih baik cari betul-betul pasangan yang ikhlas dengan kita untuk hidup bahagia selamanya,” jelasnya.