FAKTA

POLIS hari ini menafikan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang didakwa dibunuh dengan kejam dan disumbat ke dalam beg pakaian di Taman Gemas Jaya di sini.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ramli Kasa berkata, dakwaan mengenai kejadian tersebut yang tular dalam media sosial sejak semalam adalah tidak benar.

"Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan terpengaruh dengan kejadian yang ditularkan," katanya di sini, hari ini.

Beberapa gambar mayat yang  dicampakkan ke dalam longkang di Taman Gemas Jaya tular sejak semalam dan telah dikongsi oleh ribuan pengguna laman sosial.

Turut disertakan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa mangsa pembunuhan itu dan menularkan bahawa organ dalaman mangsa telah tiada dipercayai diambil pihak tertentu.

Sementara itu, pemeriksaan mendapati gambar mayat yang ditularkan itu sebenarnya melibatkan kejadian bunuh seorang wanita warga asing berusia 20-an di Taman Gemas Jaya, Tampin pada Ogos 2014.

Berdasarkan laporan akhbar, mayat wanita yang bekerja di sebuah kedai perabot ditemukan di dalam sebuah beg yang dimangga dan diikat dalam longkang di kawasan perumahan itu.

AUTA

Mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati dibunuh dengan kejam sebelum disumbat ke dalam beg pakaian dan dicampak ke longkang di Taman Jaya Gemas, Negeri Sembilan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa, organ dalamannya tiada dan dipercayai telah diambil.

Mohon solat hajat mereka yg membuat kemungkaran dibalas ALLAH...