AUTA

BARU-BARU ini, satu mesej tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial menyatakan bahawa terdapat seorang lelaki pedofil berkeliaran di sekitar kawasan Subang Bestari bagi mencari mangsa khususnya dari kalangan kanak-kanak.

Menerusi mesej itu juga, lelaki tersebut turut didakwa mempunyai rekod kes pedofil dan dikatakan mengumpan dengan memberikan telefon bimbit bertujuan mengalih perhatian mangsa.

“Mohon ibu bapa di sekitar kawasan Subang Bestari agar berhati-hati dan memantau pergerakan anak-anak lelaki anda berusia lima hingga 12 tahun.

“Hari ini berlaku perkara yang tidak senonoh apabila seorang lelaki memberi umpan handphone kepada kanak-kanak yang dia baru kenal sejak dua minggu lalu, sambil tangan dia akan memegang dan meraba kanak-kanak tersebut,” katanya.

FAKTA:

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu menafikan kejadian berkenaan malah mesej itu juga dipercayai maklumat palsu yang ditularkan melalui media sosial.

Beliau berkata, sehingga kini, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung perkara itu.

“Setakat ini polis tidak terima sebarang laporan dan dipercayai info tular yang palsu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Somu, pihaknya berharap supaya masyarakat dapat menjadi lebih peka dan tidak berkongsi mesej atau maklumat tanpa sebarang pengesahan daripada pihak bertanggungjawab.