ISUZU telah melancarkan dua pakej aksesori tulen khusus untuk trak pikap D-Max yang dikenali dengan pakej Titanium dan pakej Robust.

Pakej Titanium direka bentuk untuk meningkatkan lagi ciri premium trak pikap D-Max terdiri daripada pelbagai perincian termasuk pada lampu utama diberi kemasan krom, pelindung lampu belakang, pelindung pemegang pintu, pelindung tailgate, rocket plate dan door visor.

Untuk pakej Robust pula ia direka bagi tujuan kelasakan dan tampak lebih sporty dan garang, di mana pakejnya terdiri daripada pelindung lampu utama yang berwarna hitam mati, pelindung lampu belakang, pelindung pemegang pintu, pelindung pagar belakang, visor pintu serta pelindung bonet hadapan.

Di samping itu terdapat aksesori tambahan yang boleh dipilih bagi meningkatkan lagi ciri-ciri tersendiri kenderaan Isuzu. Pelanggan kini mempunyai pilihan untuk menambah pelindung bumper hadapan berwarna hitam mati.

Turut mempunyai kit tambahan sisi dapra yang boleh digandingkan bersama pelindung bampar hadapan. Secara amnya kit tambahan sisi dapra ini dapat memberikan kenaikan saiz roda serta kenderaan akan kelihatan lebih teguh.

Kedua pakej aksesori Titanium dan Robust ini dijual dengan harga RM1,180, dan tambahan bagi pelindung bampar hadapan dan kit tambahan sisi dapra pula berharga RM1,390 dan RM1,090.

D-Max dipertingkatkan dengan pandangan lebih gagah dan garang.

PAMERAN KLIMS

Isuzu Malaysia turut tidak melepaskan peluang mempamerkan dua model konsep D-Max dan Mu-X serta enjin terbaharu mereka di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIM’S) 2018 di MITEC, Kuala Lumpur, yang akan melabuhkan tirainya esok.

Didatangkan dengan warna merah dan biru ‘army electric’, D-Max dipertingkatkan dengan bampar besi, rim aloi dan roll bar dengan satu pandangan lebih gagah. Bahagian dalamannya menampilkan rekaan ‘blue metal armour’ yang kelihatan menyerupai sut askar.

Manakala Mu-X pula dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan untuk penggunaan off-road yang dilengkapi dengan takal cangkuk, ‘roof tray’, tayar lumpur serta bampar besi. Ketinggian jentera ini juga dinaikkan sebanyak tiga inci bagi mendapatkan ruang lega tanah yang lebih besar. Ruang dalamannya pula dilengkapkan dengan kerusi kulit dan kemasan serba hitam.

Mu-X direka khas untuk penggunaan off-road.

ENJIN BAHARU

Isuzu turut sama mempamerkan enjin diesel baharu RZ4E-TC Ddi BluePower, enjin generasi baharu yang dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan menyeluruh selama empat tahun dalam teknologi diesel.

Enjin 2.5 liter Ddi VGS Turbo ini mampu menghasilkan 150 kuasa kuda dan daya kilas 350 Nm pada 1800-2600 rpm.

Secara keseluruhannya, RZ4E-TC ini memberikan peningkatan kuasa lebih 10%, daya kilas (9.4%), pecutan yang lebih pantas (8.2%) serta kadar penjimatan bahan api yang lebih baik (19%).

Enjin diesel baharu RZ4E-TC Ddi.