BOON Siew Honda (BSH) merancakkan lagi pasaran motosikal tempatan dengan pelancaran rasmi model PCX Hybrid, Forza dan CBR1000RR Fireblade baharu. Ketiga-tiga buah motosikal itu pasti menarik dengan penampilan serba baharu, terkini dan canggih untuk pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, BSH menawarkan lebih banyak pilihan model AT kepada pelanggan apabila memperkenalkan Forza yang tangkas dan bergaya.

“Berbekalkan Challenging Spirit, BSH ingin menawarkan keseronokan mobiliti, terus berkembang sambil membayangkan masa depan dan menetapkan hala tuju bagaimana kita boleh menjadi lebih baik berbanding semalam,” katanya.

Lebih mendapat perhatian dalam ketiga-tiga model yang dilancarkan ialah model CBR1000RR Fireblade baharu. Menerusi segmen superbike, Fireblade 2019 mencipta gelombang dengan konsepnya apabila menawarkan satu lagi pilihan motor berkuasa tinggi Honda di Malaysia.

JENTERA BERKUASA TINGGI

Cantik, agresif, ringan dan penuh kuasa, CBR1000RR Fireblade baharu dijangka mengujakan pasaran jentera berkuasa tinggi menerusi pelbagai teknologi dan ciri yang mengagumkan.

CBR1000RR Fireblade baharu diinspirasikan oleh konsep “Next Stage Total Control” rekaan model yang berkuasa ini mengekalkan prinsip utama iaitu “Kuasa kepala berat”.

Honda telah melihat dari setiap sudut badan dan kerangka model ini, sebelum menjadikannya sebuah superbike yang lebih aerodinamik. Dengan berat 196kg, CBR1000RR Fireblade baharu memberikan kawalan sepenuhnya kepada penunggang menerusi prestasi yang pantas dan stabil.

TEKNOLOGI TERMAJU

Jentera ini dikuasakan oleh enjin empat lejang 16 injap DOHC dengan sistem penyejukan cecair berkapasiti 998cc yang mampu menjana kuasa pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000rpm.

CBR1000RR Fireblade dilengkapi teknologi-teknologi termaju Honda seperti HSTC, Selectable Engine Brake (SEB), ABS, pilihan Quickshiffter dengan Downshift Assist, Power Selector, suspensi Showa boleh laras sepenuhnya dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) untuk menawarkan tunggangan dan pengendalian luar biasa kepada penunggang.

Untuk membuatkan adrenalin peminatnya terus mengalir, CBR1000RR Fireblade juga didatangkan dengan Riding Mode Select System (RMSS) yang sangat mesra pengguna.

SISTEM KAWALAN ‘MODE’

Sistem itu menawarkan tiga mode dengan kombinasi HSTC, kuasa enjin dan tahap brek enjin yang berbeza. Mode Pertama untuk kegunaan di litar, Mode kedua untuk jalan bengkang-bengkok dan Mode ketiga untuk tunggangan di jalan.

Model yang mengujarkan ini juga hadir dengan dua mode User untuk memenuhi kecenderungan seseorang penunggang di mana semua parameter boleh digabung dan diubah sesuai secara bebas. Penunggang hanya perlu menekan butang Mode untuk menukar mode bagi RMSS dan menolaknya ke atas serta ke bawah bagi memilih dua mode User pada sebelah kiri bar hendal.

Kombinasi prestasi luar biasa dan reka bentuk sporty superbike ini telah mengukuhkan kedudukan motosikal berkuasa tinggi Honda di pasaran tempatan.

Didatangkan dalam warna merah (Grand Prix red) dan hitam metalik (Matt Ballistic Black Metallic), CBR1000RR Fireblade baharu direka dengan gaya yang agresif dan aerodinamik.