Ladang ayam jadi punca bau busuk, masalah lalat

PENDANG  – "Kami tak tahan bau busuk setiap hari." Itu luahan hati lebih 100 penduduk daripada 30 keluarga di Kampung Paya Sulaiman dekat sini yang tidak sanggup berhadapan pencemaran busuk dan lalat berpunca dari ladang ternakan ayam di kampung terbabit.

Difahamkan penduduk berhadapan masalah itu sejak ladang ayam milik sebuah syarikat mula beroperasi  kira-kira hampir empat tahun lalu, namun ia makin serius dua tahun lalu.

Penduduk, Sofiah Ismail, 46, berkata, penduduk terpaksa berhadapan masalah busuk najis ayam dan jumlah lalat yang banyak terutamanya waktu pagi dan selepas hujan sehingga menyukarkan mereka ketika mahu menjamu selera.

“Masalah ini sudah dihadapi sekian lama namun ia semakin serius sehinggakan penduduk luar dan saudara mara berkunjung ke kampung ini pasti bertanyakan mengenai bau busuk itu.

“Ada tetamu tidak tahan untuk berada lama di kampung ini kerana bau busuk najis ayam yang kuat pasti akan membuatkan seseorang itu muntah jika tidak biasa menghidu bau itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Badan gatal-gatal

Yam Dollah, 69, berkata, pencemaran bau busuk dan lalat begitu dirasai penduduk di situ kerana jarak ladang ternakan itu dengan penempatan penduduk kurang 200 meter dan mereka tinggal berhampiran ladang terbabit paling teruk berhadapan masalah tersebut.

“Masalah itu turut menyebabkan penduduk mengalami masalah kesihatan apabila badan mengalami gatal-gatal dan pakaian yang dijemur turut berbau najis ayam.

“Lalat yang banyak juga menyukarkan penduduk untuk masak kerana ia hinggap semua kelengkapan di dapur seperti pinggan, cawan, botol air dan banyak lagi,” katanya.

Sharifah Ismail, 44, turut memaklumkan masalah busuk dan lalat menyebabkan suaminya, Hassan Jamal Dae, 48, terpaksa makan dalam kelambu setiap hari kerana bimbang pembedahan jari kaki suaminya dicemari lalat.

“Suami menghadapi masalah penglihatan menyukarkan dia untuk menghalau lalat jika jari dan makanan dihinggapi lalat,” katanya.

Siti Kholijah Zainol, 35, pula berkata, syarikat ternakan ladang ayam itu sepatutnya menyediakan sistem perparitan supaya air najis haiwan itu tidak mengalir melalui kawasan kebun getah penduduk.

Ia berikutan masalah menyebabkan ada pokok getah tumbang dan terus masuk ke dalam kawasan sawah padi dekat situ.

Air kotor masuk sawah

Penduduk, Zamali Dae, 50, memaklumkan kira-kira 10 petani terpaksa menanggung kerugian besar apabila 10 hektar sawah padi rosak kerana dimasuki air kotor dari ladang ternakan itu sehingga menyebabkan kawasan dipenuhi ulat yang memusnahkan pokok padi baru.

“Petani juga terpaksa berhada-pan bau busuk ketika mengusahakan sawah dan kaki mengalami gatal ketika masuk ke dalam sawah untuk menabur benih dan baja serta meracun.

“Tidak tahan dengan pelbagai masalah dihadapi menyebabkan saya pergi mengadu masalah ini kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (Jas), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar namun belum nampak tindakan yang diambil,” katanya.

Zamali berkata, dia bimbang masalah ini akan lebih teruk kerana projek ladang ternakan ayam itu dilihat semakin besar apabila jumlah reban ayam yang dibina di ladang ternakan itu kian bertambah.

Jabatan Veterinar siasat

JABATAN Perkhidmatan Veterinar Kedah akan menjalankan siasatan segera terhadap ladang ternakan ayam milik yang didakwa penduduk Kampung Paya Sulaiman Mukim Padang Pusing itu.

Ketua Penguat Kuasa Veterinar Kedah, Suringer Singh, ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya telah turun padang menyiasat ladang ternakan ayam terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan belum diperoleh namun jika pihak penternak ayam berkenaan melanggar enakmen unggas, mereka boleh diambil tindakan kompaun minima RM300 dan maksimum RM2,000.